KUALA LUMPUR: Cadangan cukai baharu terhadap minuman tinggi gula di dalam Bajet 2025 dijangka menjejaskan pendapatan pengeluar termasuk Nestle (Malaysia) Bhd dan Berjaya Food Bhd, kata CIMB Securities. 

Katanya, pengilang minuman itu boleh menaikkan harga jualan untuk memindahkan sepenuhnya cukai gula tambahan kepada pelanggan atau menurunkan kandungan gula dalam produk mereka ke bawah ambang cukai. 

Firma penyelidikan tu berkata, sejarah menunjukkan bahawa pengeluar yang sebelum ini terjejas oleh cukai gula menyesuaikan semula ramuan mereka. 

"Pilihan lain untuk pengeluar termasuk meluaskan rangkaian produk mereka, dengan produk yang mengurangkan kandungan gula dan produk dengan harga jualan yang lebih tinggi, bagi menurunkan cukai ke atas minuman dengan kandungan gula yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

Terdahulu, The Star memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Selasa yang menyatakan cukai baharu yang dikenali cukai minuman manis akan diperkenalkan dalam Bajet 2025. 

Cukai yang dirancang itu susulan kejayaan sebelum ini dalam mengurangkan penggunaan minuman manis sebanyak 9.25% di seluruh negara, selepas kerajaan mengenakan kenaikan cukai gula sebanyak 10 sen seliter di bawah Bajet 2024 kepada 50 sen seliter. 

CIMB Securities berkata, cadangan itu akan turut memberi kesan kepada Fraser & Neave Holdings Bhd dan Farm Fresh Bhd sekiranya diluluskan. 

Anggaran firma penyelidikan itu menunjukkan antara 25% hingga 30% daripada jualan Nestle diperoleh daripada segmen minuman, dengan pendedahan kepada kedua-dua produk minuman sedia untuk diminum dan pracampur di bawah jenama seperti Milo, Nescafe dan Nestum di bawah rejim cukai semasa . 

Bagi F&N, jualan domestik minuman sedia untuk diminum dan produk tenusu menghasilkan kurang daripada 35% hingga 45% daripada jumlah hasil tahun sehingga kini.  

Berjaya Food menjual produk sedia untuk diminum tertentu, walaupun sumbangan hasil daripada segmen ini adalah minimum. 

Sementara itu, tiada satu pun barisan produk semasa Farm Fresh terjejas di bawah cukai gula semasa buat masa ini. 

"Sebaliknya, jika skop cukai baharu diperluaskan untuk memasukkan produk yang digunakan untuk penyediaan minuman segar, seperti susu pekat manis, F&N akan berisiko, kerana jualan domestik rangkaian produk ini sahaja dianggarkan berjumlah 10% hingga 15% daripada jumlah hasilnya," katanya. - Dagang News