KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami penurunan dan ditutup rendah pada Jumaat, menjejaki langkah berhati-hati dalam pasaran global menjelang data pekerjaan Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan lewat malam ini.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.70 mata atau 0.7 peratus kepada 1,653.12 daripada 1,664.82 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.65 mata lebih tinggi kepada 1,669.47 dan bergerak antara 1,671.83 hingga 1,648.42 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 662 berbanding 316, manakala 474 kaunter tidak berubah, 1,003 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.35 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 3.28 bilion unit bernilai RM3.41 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata selepas mengekalkan kadar faedah pada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun untuk membendung inflasi, Rizab Persekutuan (Fed) AS akhirnya telah memberi isyarat bahawa pengurangan kadar faedah mungkin berlaku tidak lama lagi.

Beliau berkata laporan terkini mengenai tawaran pekerjaan dan pemberhentian kerja di AS bagi Julai menunjukkan pengambilan pekerja menurun, sekali gus mengukuhkan lagi keperluan untuk pengurangan kadar faedah bagi melindungi pasaran pekerjaan dan mencegah kemelesetan di AS.

Selain itu, Beige Book Fed iaitu ringkasan mengenai ulasan berkenaan keadaan ekonomi semasa oleh Fed di peringkat daerah juga mendedahkan bahawa aktiviti ekonomi adalah mendatar atau semakin lemah di kebanyakan kawasan baru-baru ini, katanya.

Beliau berkata oleh itu, pelabur akan meneliti data pekerjaan bukan ladang malam ini, yang mungkin berperanan penting dalam membentuk jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah yang akan diputuskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) pada 17 dan 18 September ini.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun bursa tempatan mengalami aliran menurun namun, saham perkhidmatan kesihatan dan perindustrian mencatatkan kenaikan hari ini.

Beliau berkata ini menunjukkan peralihan tumpuan pelabur kepada kalangan syarikat yang kukuh dari segi asas dengan hasil dividen yang tinggi dan sektor bersifat defensif, terutama dalam keadaan terlebih jual di pasaran.

"Walaupun kami kekal yakin dengan asas-asas kukuh pasaran tempatan namun, faktor luaran akan terus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pasaran," katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, YTL Corp merosot 21 sen atau 7.8 peratus kepada RM2.49, MISC menguncup 36 sen kepada RM7.92 dan YTL Power susut 17 sen kepada RM3.52.

CelcomDigi turun enam sen kepada RM3.66 dan Petronas Dagangan merosot 66 sen kepada RM19.62.

Antara kaunter aktif, Steel Hawk meningkat 4.5 sen kepada 39 sen, Cape EMS naik setengah sen kepada 34.5 sen, MYEG kekal pada 91.5 sen manakala Tanco dan Dataprep masing-masing menokok satu sen kepada RM1.09 dan 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 96.61 mata kepada 12,276.06, Indeks FBM Emas Syariah turun 96.94 mata kepada 12,077.25, dan Indeks FBMT 100 kurang 95.74 mata kepada 11,985.21.

Indeks FBM 70 merosot 177.48 mata kepada 17,094.45, manakala Indeks FBM ACE naik 3.35 mata kepada 5,084.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.49 mata kepada 19,602.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.07 mata kepada 175.30, Indeks Tenaga kurang 12.73 mata kepada 875.19 manakala Indeks Perladangan meningkat 18.31 mata kepada 7,243.40.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.60 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 1.72 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 345.70 juta unit bernilai RM29.40 juta daripada 997.61 juta unit bernilai RM114.19 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula mengecil kepada 408.21 juta saham bernilai RM143.08 juta daripada 568.84 juta saham bernilai RM214.14 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 168.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (311.28 juta), pembinaan (198.49 juta), teknologi (239.80 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (126.15 juta), hartanah (202.31 juta), perladangan (15.10 juta), REIT (10.94 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (77.45 juta), penjagaan kesihatan (40.88 juta), telekomunikasi dan media (26.61 juta), pengangkutan dan logistik (39.07 juta), utiliti (140.24 juta), dan amanah perniagaan (35,100).

-- BERNAMA