KUALA LUMPUR: Ketika aktiviti tawaran permulaan awam (IPO) syarikat-syarikat di rantau ASEAN seakan-akan memperlahan pada tahun ini, satu negara nyata seperti melawan trend serantau, iaitu Malaysia.

Agensi berita antarabangsa Nikkei melaporkan, daripada industri sawit membawa ke rantaian bekalan barangan runcit, beberapa penyenaraian baharu menunjukkan apa yang digelar bursa tempatan sebagai tahun yang ‘luar biasa’ untuk pasaran ekuiti.

Situasi itu diperkukuh lagi dengan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift bahawa aktiviti IPO akan terus mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2025.

“Kita mempunyai kemasukan pelaburan yang tinggi, sekali gus mencetuskan kecairan (liquidity). Jika kita lihat pada tahun ini kita mungkin melebih 42 IPO. Dan tahun hadapan saya sudah dapat melihat angka 50,” katanya kepada Nikkei Asia.

Untuk rekod, 50 penyenaraian IPO bakal menandakan angka terbesar bagi Malaysia, yang kali terakhir dicapai pada tahun 2005.

Muhammad Umar berkata, perdagangan stok kelihatan lebih aktif pada tahun ini, sejajar dengan peningkatan momentum IPO, di mana nilai purata perdagangan harian meningkat 66 peratus untuk tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM3.36 bilion untuk sembilan bulan pertama bagi tahun 2024.

Beliau berkata pertumbuhan tersebut didorong prestasi ekonomi yang kukuh iaitu pertumbuhan sekitar 5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK), kerajaan yang stabil, serta strategi yang bertepatan.

Untuk rekod, Malaysia setakat ini mempunyai 33 IPO, peningkatan daripada 25 untuk tempoh yang sama pada tahun 2024. Sebagai perbandingan, IPO Indonesia turun kepada 34 dari 66 IPO, manakala Thailand turut menyaksikan penurunan kepada 22 berbanding 26.

Sementara itu Singapura, yang dianggap sebagai hab kewangan serantau hanya mempunyai satu IPO. Bagi keseluruhan rantau Asia Pasifik, jumlah IPO menurun sebanyak 43%, disebabkan penyusutan ekonomi China.