KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman terhadap seorang pemilik akaun Facebook atas dakwaan menerbitkan beberapa pernyataan fitnah yang mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).


Ringkasan AI
  • Mufti Perlis, Mohd Asri, menyaman pemilik akaun Facebook, Mohd Nawawi, kerana didakwa memfitnahnya berhubung kaitan dengan GISB Holdings.
  • Mohd Asri menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada defendan melalui pelbagai media.
  • Mohd Asri meminta mahkamah agar semua pernyataan fitnah itu dipadam dan melarang penerbitan lanjut di media sosial.


Pengurusan kes saman itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ong Yen Li pada 11 Nov ini secara e-review.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Asri yang juga pensyarah mendakwa Mohd Nawawi telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 Sept lepas, yang boleh diakses oleh masyarakat umum.

Plaintif mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISB, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada GISB.

Mohd Asri juga mendakwa penerbitan pernyataan fitnah itu berniat untuk menghina beliau dan ia adalah tidak benar, bertujuan menimbulkan persepsi oleh masyarakat terhadapnya.

Dakwa plaintif, tindakan defendan mengaitkannya dengan GISB yang diketahui umum mempunyai kepercayaan atau ajaran mengandungi unsur sesat memberi gambaran bahawa beliau menyokong atau terlibat dengan aktiviti yang tidak selari dengan Islam.

Sehubungan dengan itu, plaintif memohon defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.

Turut dimohon agar defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah itu daripada semua laman sesawang dan media sosial termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram di bawah kawalan defendan.

Mohd Asri juga memohon agar defendan sama ada melalui pekerja atau ejennya dihalang daripada mengeluarkan secara langsung atau tidak langsung pernyataan-pernyataan fitnah itu di semua laman sesawang dan semua media sosial berkenaan.

-- BERNAMA