KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2024, melonjak 41.9 peratus kepada RM85.74 juta daripada RM60.41 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Lonjakan itu disebabkan oleh perniagaan pasaran sekuriti, yang merekodkan pertumbuhan 47.5 peratus dalam keuntungan segmen kepada RM121.8 juta tetapi overhed, kos yang ditanggung ke atas perkhidmatan sokongan yang diberikan kepada segmen operasi turut meningkat, naik 24.5 peratus dari tahun ke tahun kepada RM33.8 juta.

Pendapatan kumpulan untuk suku tersebut bertambah kepada RM211.26 juta berbanding RM158.71 juta setahun sebelum ini, kata pengendali bursa saham itu pada Rabu.

Bursa Malaysia ketika bercakap mengenai segmen tertentu menjelaskan keuntungan segmen pasaran sekuriti yang lebih tinggi telah dipacu oleh pertumbuhan 41.6 peratus dalam hasil operasi kepada RM147.3 juta.

"Hasil dagangan meningkat 53.5 peratus kepada RM108.0 juta pada suku ketiga daripada RM70.4 juta yang disaksikan semasa suku ketiga 2023 disebabkan oleh purata nilai dagangan harian yang lebih tinggi untuk dagangan dalam pasaran dan urus niaga perniagaan langsung," katanya.

Sementara itu, pasaran derivatif mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM12.4 juta, pertambahan 18.0 peratus berbanding RM10.5 juta dalam suku yang sama sebelum selepas hasil operasinya melonjak 22.6 peratus kepada RM29.0 juta.

Dalam perniagaan data, keuntungan segmen merekodkan keuntungan sebanyak 6.4 peratus kepada RM17.0 juta daripada RM16.0 juta, manakala hasil operasi bertambah 17.8 peratus kepada RM21.4 juta.

Bagaimanapun, keuntungan segmen pasaran Islam menurun 33.3 peratus kepada RM1.3 juta pada suku dalam tinjauan di tengah-tengah peningkatan 31.2 peratus dalam perbelanjaan operasi kepada RM2.8 juta, disebabkan oleh kos operasi yang ditanggung ke atas platform dagangan emas patuh syariah yang mula beroperasi pada Januari 2024.

Sementara itu, syarikat pemegangan bursa itu melaporkan kerugian segmen yang lebih rendah sebanyak RM1.0 juta pada suku ketiga 2024, lebih baik daripada kerugian RM2.7 juta yang dicatatkan dalam setahun sebelumnya disebabkan kos tanggungan kakitangan yang lebih rendah.

"Segmen lain, termasuk perniagaan baharu seperti Bursa Carbon Exchange, platform pengumpulan dana hutang, pelaporan dagangan bon dan bursa pasaran luar pesisir, mencatatkan kerugian segmen yang lebih tinggi sebanyak RM2.3 juta menjelang suku ketiga 2024 daripada RM1.1 juta pada suku ketiga 2023, akibat peningkatan perbelanjaan kakitangan, pemasaran dan pembangunan," kata Bursa Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 Sept 2024, keuntungan bersih Bursa Malaysia menokok 25.1 peratus kepada RM241.22 juta dengan hasil mencatatkan 30.1 peratus lebih tinggi sebanyak RM598.39 juta.

Bursa itu ketika mengulas mengenai unjuran menjelaskan jumlah dagangan derivatif semasa yang teguh dijangka akan berterusan memandangkan aktiviti perdagangan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti corak cuaca yang boleh mengganggu bekalan minyak sawit mentah, kelewatan peraturan penebangan hutan Suruhanjaya Eropah dan penarikan had pembelian penapis India.

Mengenai pasaran Islam, Bursa Malaysia merancang untuk melancarkan dana dagangan bursa berciri wakaf pertama di dunia menjelang suku terakhir 2024, ia menyediakan sumber dana yang mampan ke atas projek wakaf dan membolehkan pelabur menyokong inisiatif sosial dan komuniti.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift melahirkan keyakinan untuk mencapai kesemua lima petunjuk prestasi utama bagi tahun ini, termasuk sasaran keuntungan sebelum cukai yang disemak naik yang ditetapkan pada Julai 2024.

"Sebagai bursa pelbagai aset, kami berdedikasi untuk mendemokrasikan akses selain menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan. Pelabur runcit domestik memainkan peranan penting dalam memacu pasaran kami ke hadapan serta kami akan meneruskan jangkauan kami melalui inisiatif seperti Pameran Pasaran Bursa dan siri Invest Malaysia," tambahnya.

-- BERNAMA