KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa walaupun prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur berikutan pelabur memberikan tumpuan kepada kenyataan separuh tahun daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menilai pertumbuhan ekonomi AS dan landasan dasar monetari.

Pada 9.03 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.04 mata kepada 1,615.06 daripada 1,611.02 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 6.12 mata kepada 1,617.14.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti Awal Muharam.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 205 berbanding 127 dengan 377 kaunter tidak berubah, 1,695 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 153.56 juta unit bernilai RM88.03 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata peniaga menantikan data inflasi AS pada minggu ini dengan jangkaan yang tinggi bahawa Fed akan menurunkan kadar sebanyak dua kali pada tahun ini.

"Dalam negara, kami menjangka terdapat pembeli selepas jualan lewat pada Jumaat lepas.

"Bagaimanapun, kami percaya sentimen kekal berhati-hati berikutan prestasi serantau yang lemah semalam, justeru kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,610-1,620 hari ini," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi Maybank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM10.04 dan RM6.95 manakala Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM14.20.

Sementara itu, Public Bank naik enam sen kepada RM4.10 dan IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM6.34.

Bagi kaunter paling aktif, Bumi Armada meningkat tiga sen kepada 61 sen, K-One Technology naik dua sen kepada 31.5 sen dan Aimflex menambah satu sen kepada 20.5 sen manakala Computer Forms tidak berubah pada 17.5 sen.

Johor Plantations Group Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa hari ini naik setengah sen kepada 84.5 sen, dengan 12.19 juta saham bertukar tangan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 29.47 mata kepada 12,474.47, Indeks FBMT 100 meningkat 29.75 mata kepada 12,042.63, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 22.63 mata kepada 12,829.51, Indeks FBM 70 menambah 44.23 mata kepada 18,429.72 dan Indeks FBM ACE menokok 17.34 mata kepada 5,983.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 60.33 mata kepada 17,663.77 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.36 mata kepada 200.28.

Indeks Tenaga menambah 3.67 mata kepada 990.42 dan Indeks Perladangan naik 9.78 mata kepada 7,015.42.

-- BERNAMA