KUCHING: Gimnas Wilayah Persekutuan mendominasi acara gimrama dengan meraih pingat emas dan perak dalam acara all-around individu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.

Gerakan memukau, penuh koordinasi serta kreatif melayakkan Cassidy Tan Jia Xin, 13, menggondol emas kedua peribadi selepas mencatat 104.900 mata bagi empat apparatus dipertandingkan iaitu gelung, bola, belantan dan riben.

"Saya tidak pernah terbayang rangkul emas pada SUKMA kerana apa yang saya tumpukan ialah prestasi dan membuat jurulatih bangga, jadi (kemenangan) ini di luar jangkaan, saya hanya lakukan yang terbaik dan untuk negeri saya," katanya kepada pemberita.

Anak bongsu daripada dua beradik itu jelas berada pada kelas tersendiri apabila mengungguli tiga daripada empat disiplin disertainya iaitu gelung dengan 26.950 mata, bola (26.650 mata) dan riben (25.250 mata).

Pingat perak pula diraih gimnas kebangsaan Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan, manakala Dhaffatul Nurbaiti Harman dari Negeri Sembilan memenangi gangsa.

Nur Zhafirah, 14, berkata dia mahu mendapat tempat di podium bagi acara individu yang berlangsung esok.

"Ini SUKMA terakhir saya, jadi saya mahu 'menikmati' momen namun pada masa sama hendak menang pingat, saya akan beraksi bagi dua apparatus iaitu belantan dan gelung esok," katanya yang mengakui kedua-dua disiplin itu merupakan kekuatannya.

Semalam, skuad Wilayah Persekutuan menunjukkan taring apabila menggondol emas dalam acara all-around berpasukan yang diwakili Nur Zhafirah, Cassidy, Rhea Dhaliwall dan Ru-Zanne Sui.

-- BERNAMA