Atlet memanah Sarawak Joey Tan Xing Lei berjaya mempertahankan pingat emas acara 70-meter recurve individu wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Bernama
Sun Aug 18 2024
Pemanah Sarawak Joey Tan Xing beraksi dalam acara 70m recurve wanita hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Biarpun terpaksa membahagikan masa antara akademik dan latihan, atlet memanah Sarawak Joey Tan Xing Lei kini mampu tersenyum lebar selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara 70-meter recurve individu wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Pada acara yang berlangsung di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya, atlet berusia berusia 17 tahun itu terbukti sukar digugat apabila mengumpul 645 mata.
Pemanah Selangor, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli memperoleh pingat perak dengan 629 mata manakala wakil Terengganu Nurul Syakirah Hashim memungut gangsa dengan 610 mata.
"Sebenarnya saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, jadi saya tidak mempunyai banyak masa untuk menjalani latihan disebabkan jadual yang padat, ia tidak mudah.
"Saya takut dan tertekan kerana mendapat keputusan yang baik pada SUKMA edisi lepas," katanya yang menzahirkan terima kasih kepada semua pihak khususnya jurulatih dan keluarga atas pencapaian berkenaan.
Dalam acara lelaki, pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan mencatat 656 mata untuk meraih pingat emas.
Wakil Pahang Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi memperoleh pingat perak dengan 656 mata manakala wakil tuan rumah Liew Yu Jie mendapat gangsa dengan 334 mata.