KUALA LUMPUR: Kerajaan diharapkan dapat mengumumkan inisiatif penambahbaikan lanjutan terhadap dasar perdagangan antarabangsa Malaysia terutama melibatkan rantau ASEAN untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembentangan Belanjawan 2025.

Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata langkah itu boleh dilaksanakan melalui pelonggaran cukai dan tarif memandangkan Malaysia sudah mempunyai akta yang berkaitannya.

Struktur Semula Dasar, Strategi Perdagangan

Beliau mencadangkan agar kerajaan juga mengumumkan penstrukturan semula contohnya melibatkan pergerakan tenaga kerja antara negara ASEAN.

"Walaupun secara formal kita sepatutnya hanya mempunyai dua juta pekerja asing, tetapi sebenarnya kita mempunyai lebih enam juta pekerja asing dari negara ASEAN. Ini perlu diperbaiki atau formal supaya dapat memberikan manfaat yang lebih baik kepada negara.

"Inisiatif ini saya harap sekurang-kurangnya dapat diumumkan menerusi Belanjawan 2025 dan dilaksanakan secara beransur-ansur," katanya kepada Bernama.

Barjoyai juga mencadangkan supaya kerajaan dapat menstrukturkan semula strategi perdagangan dua hala dengan Singapura.

"Kita masih lagi melakukan banyak aktiviti tradisi dengan Singapura, menganggap Singapura sebagai 'intra-port', apabila banyak lagi barang keluaran Malaysia yang dieksport dari Singapura ke serata dunia.

"Ini mungkin perlu dilihat semula dan diperbaiki supaya perdagangan kita dengan Singapura dilihat sebagai perdagangan akhir, bukan perdagangan perantara," katanya.

Hubungan Dagangan Dua Hala Yang Baik

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata Malaysia mempunyai hubungan dagangan dua hala yang sangat baik dengan kalangan negara jiran dan antarabangsa.

Lebih 40 peratus perdagangan negara hari ini adalah dengan China dan kira-kira 25 peratus dengan Singapura, katanya.

"Kita memang sudah mempunyai hubungan perdagangan yang sangat rapat dengan negara di Asia. Ini akan diteruskan kerana dalam dua atau tiga dekad akan datang, rantau Asia dijangka menjadi pusat perdagangan dunia yang lebih penting berbanding New York.

"Kita perlu lebih menekankan perdagangan yang bernilai tambah tinggi. Kita perlu menumpukan aspek ekonomi yang mewujudkan nilai tambah yang tinggi dalam negara, dengan kita proses bahan mentah dan mengeksport kembali keluaran akhir," katanya.

Pertimbangkan Tumpuan Landskap Perdagangan dan Pelaburan

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata untuk mengekalkan kedudukan negara sebagai antara negara perdagangan terbesar dunia, kerajaan perlu mempertimbangkan penyepaduan landskap perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan keperluan ekonomi maju.

"Saya berpandangan dasar perdagangan Malaysia sudah memadai untuk mendorong pertumbuhan buat masa ini, (namun), Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menjajarkan kedudukannya lebih rapat dengan dua pembeli terbesar dunia -- Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (pada masa hadapan)," katanya.

Beliau yakin Malaysia merupakan sebuah negara yang percaya terhadap sifat pelbagai hala dan telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai platform pelbagai hala yang akan membawa kepada sistem perdagangan yang lebih liberal.

"Sekiranya liberalisasi perdagangan pelbagai hala menjadi lebih lembap, Malaysia memilih untuk meneruskan matlamat ini melalui laluan serantau, dan seterusnya, dua hala. Kita mempunyai 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan sedang merundingkan dua FTA dengan EFTA (Persatuan Perdagangan Bebas Eropah) (secara dua hala) dan Kanada (melalui ASEAN).

"Sepanjang beberapa dekad, saya berpandangan banyak perhatian telah diberikan untuk menambah baik landskap perdagangan luar Malaysia, yang terutamanya menekankan isu perdagangan tradisional seperti liberalisasi tarif, kemudahan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan," katanya.

Firdaos berkata walaupun semua perkara itu adalah 'ramuan' yang diperlukan untuk menambah baik landskap perdagangan dan pelaburan negara dalam jangka masa pendek hingga pertengahan namun, perka itu mungkin tidak dapat memenuhi kekompleksan yang diperlukan untuk memperkukuh kelebihan bandingan Malaysia dalam jangka masa panjang.

-- BERNAMA