Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh kerajaan pada Jumaat lalu dilihat tidak menekankan perancangan terperinci dalam mengatasi masalah tersebut.
Ujar beliau, kerajaan juga tidak memperuntukkan jumlah yang besar bagi memastikan daya pengeluaran makanan tempatan dapat diperkasakan.
"Ini kita telah bincang lama, malahan dikatakan status keselamatan makanan Singapura (berada pada tahap) antara yang terbaik di dunia. Malaysia berada di kedudukan antara 32 ke 33, ini satu perkara yang perlu diberikan perhatian.
"Jadi sebab itu setiap tahun kita belanjakan sekitar RM60 bilion hingga RM70 bilion untuk membawa masuk bahan-bahan makanan. Kelapa pun kita import... sayur-sayuran, ikan, daging dan hampir sebahagian besar (diimport).
"Sepatutnya belanjawan ini sedar situasi ketika ini (adalah) krisis. (Misalnya) Kita lihat krisis beras, bekalan pengeluaran beras negara patut 70 peratus berbanding 30 peratus import. Yang terkini saya diberitahu, hanya 60 peratus sahaja, dan kekurangan 10 peratus," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Membahaskan lagi, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan telah mengurangkan lebih RM11 bilion peruntukan subsidi susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci mekanisme penyasaran subsidi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak menentukan golongan pendapatan yang masih menikmati subsidi ekoran langkah rasionalisasi tersebut.
"Adakah kerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu untuk menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat menikmati subsidi? Ini akan menimbulkan banyak persoalan dan ini akan dilaksanakan tahun depan.
"Penentuan ini penting kerana tekanan kos sara hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kelas pendapatan," katanya.
Selain itu, Muhyiddin mempersoalkan adakah kerajaan telah melaksanakan kajian menyeluruh untuk menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi terhadao rakyat dan ekonomi.
Dalam masa yang sama, beliau menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat sekiranya para pengusaha dalam industri pengangkutan dan logistik tidak lagi menikmati subsidi bahan api.
Muhyiddin turut melahirkan keraguan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan, penjimatan subsidi akan diagihkan semula kepada kumpulan sasaran.