KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peningkatan peruntukan terbesar tahun depan, dengan jumlah RM41.2 bilion berbanding RM36.3 bilion tahun ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kertas Putih Kesihatan yang dihamparkan di Dewan Rakyat pada pada Jun lepas telah menggariskan beberapa cabaran utama sistem kesihatan negara yang perlu segera ditangani, termasuklah mengintegrasi sektor kesihatan awam dan swasta yang selama ini terpisah.

Beliau berkata, sejumlah RM5.5 bilion daripada peruntukan keseluruhan adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Malaysia masih belum memenuhi nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit, justeru ketercapaian kemudahan kesihatan akan terus ditingkatkan bagi menyurai kesesakan di hospital dan klinik Kerajaan.

Beliau berkata, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan antaranya:

Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta;  Kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor;  Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM175 juta.

Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor; serta Lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak; serta mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar 90 pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM200 juta.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih klinik-klinik daif akan terus diperhebat, dengan RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang. 233.

“Sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

“Ini termasuk RM200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengumumkan usaha membendung risiko kesihatan, termasuk mengenakan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada kadar 5 peratus ditambah RM27 sekilogram, sepertimana duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff.

Selain itu, beliau berkata, kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter.

“Hasil duti eksais ini akan disalurkan semula khusus untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis termasuk sokongan kepada pusat dialysis,” katanya lagi.

Skim Perubatan MADANI pula, tambah beliau, akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat, dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi.