Bank of Japan, yang mewakili Menteri Kewangan Jepun, dan Bank Negara Malaysia menyambut baik cadangan untuk menandatangani perjanjian prinsipal bagi memuktamadkan Pengaturan Swap Dua Hala (BSA) bernilai sehingga US$3 bilion (US$1=RM4.33).

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkuasa iaitu berkata pengaturan ini bercirikan swap dua hala, iaitu pihak Jepun dan Malaysia akan menyediakan dolar Amerika Syarikat melalui swap mata wang apabila mendapat permintaan daripada negara masing-masing.

"Kedua-dua pihak berkuasa tersebut sedang mengambil langkah perlu untuk menyelesaikan proses kelulusan di negara masing-masing," kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa di Jepun dan Malaysia berharap untuk memperkukuh kerjasama dua hala melalui pengaturan ini, yang seterusnya akan menyokong kestabilan pasaran kewangan.

"Pengaturan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA