Malaysia tidak akan mengenakan sebarang tambatan atau kawalan modal terhadap mata wangnya untuk menggalakkan pelabur, syarikat dan institusi kewangan mengakses pasaran dalam negeri bagi menjalankan aktiviti tukaran asing dan lindung nilai di Malaysia, kata Datuk Johari Abdul Ghani.

Menteri Kewangan Kedua itu berkata, kes ANZ dan Macquarie Bank adalah bukti jelas bahawa aktiviti spekulasi itu berleluasa di pasaran luar pesisir.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua bank telah mengakui peniaga-peniaga mereka cuba untuk memanipulasi kadar penanda aras utama dalam pasaran pertukaran asing di Malaysia, yang melanggar undang-undang kartel sehingga didenda jutaan dolar.

Johari berkata beliau telah menasihatkan pelabur agar melabur di Malaysia dimana pelaburan mereka dilindungi serta telus dan spekulator tidak dapat mengambil kesempatan.

Beliau berkata langkah Bank Negara baru-baru ini untuk membendung pasaran tukaran asing luar pesisir adalah berasas.

"Terdapat bukti banyak aktiviti spekulasi berlaku di luar negara, jadi saya menyokong penuh tindakan Bank Negara dalam memastikan lebih banyak pertukaran asing serta aktiviti perlindungan nilai dijalankan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas melepaskan 'Kampung Baru MTB Challange' di sini hari ini.

Beliau berkata Bank Negara telah melaksanakan pengawasan dan mekanisme sewajarnya untuk memastikan semua pihak dilindungi daripada aktiviti spekulasi di pasaran luar pesisir.

Semasa ditanya sama ada aktiviti spekulasi ke atas ringgit di pasaran luar pesisir masih aktif, Johari berkata: "Anda tidak boleh menghalang orang membuat spekulasi terhadap mata wang kita."

Beliau berkata dalam usaha untuk mencegah aktiviti ini daripada menjejaskan ringgit, kerajaan perlu mewujudkan asas-asas ekonomi yang baik dalam negara.

"Kita perlu menunjukkan kepada mereka bahawa kita mahu meningkatkan kredibiliti kita, kepercayaan dalam sistem kita supaya orang ramai mempunyai keyakinan terhadapnya.

"Saya percaya kita mempunyai asas yang baik dan mata wang akan kembali ke tahap di mana ia sepatutnya," katanya. -- Bernama