The Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) dan Tan Sri Azman Hashim tidak mendapatkan khidmat bank pelaburan untuk menjual kepentingan mereka dalam Kumpulan AmBank.

"Laporan itu tidak betul dan hanyalah satu spekulasi," kata Kumpulan AmBank dalam satu kenyataan Khamis yang dikeluarkan susulan rencana bertajuk 'Changing Bankscape' dan 'ANZ Reportedly Looking To Sell Down Asian Assets' yang disiarkan dalam sebuah akhbar harian tempatan pada 4 Okt.

Rencana itu mendakwa bahawa ANZ dan Azman telah mendapatkan khidmat bank pelaburan untuk menjual kepentingan mereka dalam Kumpulan AmBank.

"Tan Sri Azman Hashim telah mengesahkan bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang bentuk perbincangan mengenai perkara itu.

"ANZ juga telah memberitahu Kumpulan AmBank bahawa mereka tidak terlibat dalam sebarang perbincangan untuk menjual kepentingan mereka atau pun melantik sebuah bank pelaburan untuk melepaskan pegangan saham mereka," katanya.

ANZ dilaporkan memegang 24 peratus kepentingan manakala pengasas dan pengerusi bank itu Azman secara tidak langsung memiliki 16 peratus kepentingan dalam kumpulan perbankan itu.