SEPANG: Bermula 1 November, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 113 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak, dengan tambang serendah RM99 sehala.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu sedia ditempah di airasia Super App sekarang dengan menekan ikon ‘Flights’ untuk tempoh perjalanan bermula 1 November 2021 sehingga 31 Mac 2022.

Para tetamu yang mempunyai Akaun Kredit dengan mata BIP Points juga boleh menggunakannya untuk menebus penerbangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke negeri tersebut bermula 1 November 2021, seterusnya merancakkan sektor penerbangan dan mengurangkan lagi tambang untuk manfaat penumpang.

AirAsia sehubungan itu menyatakan komitmen untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik bagi memberikan mereka pengalaman perjalanan yang selamat dan berharap untuk membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak.

``AirAsia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berikutan pengumuman peningkatkan penerbangan ke negeri itu.

``Jumlah ini adalah lebih daripada dua kali ganda penerbangan kami ke Sarawak pada masa ini iaitu 36 penerbangan mingguan, selain 77 penerbangan domestik di dalam negeri Sarawak.

“Sarawak adalah pasaran dan hab strategik yang sangat penting bagi AirAsia dan kami berharap untuk kembali mengendalikan penerbangan ke tahap pra-COVID, jika tidak lebih banyak, di mana kami pernah mengendalikan sebanyak 558 penerbangan mingguan ke, dari dan dalam negeri Sarawak,'' katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Riad berkata, AirAsia mempunyai enam pesawat jenis A320 yang ditempatkan di hab Kuching dan dengan perkembangan positif ini, pihaknya akan meningkatkan operasi dan berharap untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

“Kami akan terus komited dan menyokong pembukaan semula sektor perjalanan dan aktiviti pelancongan di Sarawak. Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua badan kawal selia, kerajaan persekutuan dan negeri yang berkaitan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan untuk memastikan standard pematuhan tertinggi bagi setiap penerbangan yang dikendalikan.”

Sebagai sebahagian daripada rancangan mitigasi COVID-19, AirAsia hanya menerima tetamu yang divaksin sepenuhnya dan mewajibkan daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App.

Untuk kemudahan dan ciri keselamatan tambahan, AirAsia juga akan melancarkan sistem pengecaman wajah FACES bermula di klia2, sebelum diikuti oleh semua lapangan terbang lain di Malaysia termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

FACES menjadikan pengalaman perjalanan para tetamu tanpa kertas, tanpa sentuhan dan digital sepenuhnya, seterusnya meminimumkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan penerbangan.


*Berita asal di DagangNews.com