Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi memutuskan jumlah bantuan tunai yang akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan kesulitan dilanda musibah berkenaan.

Katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada tahun lepas sebanyak RM500 diberikan kepada setiap keluar yang terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir kerana dinaiki air dan RM200 untuk keluarga yang tidak berpindah.

Pada Isnin, Ahmad Maslan ada mengumumkan bahawa kerajaan membelanjakan RM800 juta dalam fasa pertama membaiki prasarana dan membantu mangsa banjir sejak hujung bulan lalu.

“RM800 juta itu termasuk bantuan tunai banjir yang belum ditetapkan jumlahnya. Kita masih menunggu keputusan Perdana Menteri mengenainya” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi berkata jumlah tersebut belum lagi diputuskan kerana menunggu keadaan banjir di negeri Perak dan Pahang surut.

“Jumlah bantuan belum dibahagikan. Ia akan diputuskan selepas banjir di Perak dan Pahang reda” kata Thajudeen.

Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC) bercadang untuk memanggil Kementerian Kewangan bagi memberi penjelasan mengenai peruntukan RM800 juta kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan Ahmad Maslan sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan kepada mangsa banjir diharap dapat diberikan segera sama ada pada 15 dan 16 Januari ini.

"Dalam kes banjir biasa pun kita ada bagi sejumlah peruntukan, saya akan rujuk kepada Perdana Menteri amaun yang akan diberikan kepada setiap isi rumah atau ketua keluarga sama ada RM500 atau RM1,000 ini akan diputuskan secepat mungkin," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan pada Selasa.