Dinding-dinding bangunan, kedai dan rumah kelihatan kotor dibaluti lumpur mengering.
Longgokan perabot rosak juga menjadi pemandangan biasa di tepi-tepi jalan yang juga berhabuk.
Biarpun rata-rata paras air sudah mula surut di kebanyakan tempat, namun penduduk kini berdepan cabaran paling sukar membina semula apa yang musnah.
Tinjauan Astro AAWANI menaiki bot menyusuri Sungai Pahang turut mendapati kemusnahan cukup ketara khususnya penempatan rumah papan dan sangkar ikan patin di sepanjang sungai itu.
Temerloh yang terkenal sebagai bandar ikan patin, kini sedikit terjejas susulan pengusaha sangkar ikan patin dan pengusaha restoran ikan sungai berkenaan yang terpaksa menanggung kos kerugian tinggi.
Bagi pengusaha sangkar ikan patin, Samsul Anuar, keseluruhan kos yang terpaksa ditanggungnya mencecah lebih RM30,000 akibat sangkar yang rosak dan ikan yang terlepas dibawa arus deras.
"Rasanya banjir ini paling besar kerugian paling banyak melibatkan banyak sangkar rosak," kata Samsul yang telah mengusahakan perniagaan itu selama 5 tahun.
Bersebelahan Sungai Pahang juga terletak gerai ikan patin terkenal Gobang Maju antara paling teruk terjejas dengan air banjir sehingga hampir mencecah paras bumbung.
Menurut pengusaha restoran itu, Mohamad Rizal Mohamad Roseli, sepanjang 4 tahun gerai itu beroperasi, paras air banjir kali ini paling tinggi.
"Dahulu memang pernah banjir tetapi paras lantai, lepas itu paras pinggang, sekarang terus naik sampai paras bumbung" kata Rizal sambil bersyukur tindakan pantas mengosongkan premis gerainya itu mampu mengurangkan sedikit kos kerugian.
Namun kos yang terpaksa ditanggung untuk memperbaiki kedai yang telah ditelenggami air banjir itu mencecah lebih RM20,000 termasuk membayar gaji pekerjanya walaupun kedainya masih tidak dapat beroperasi.
Antara sangkar ternakan ikan patin yang musnah selepas banjir - Foto Astro AWANI
"Apabila terkena banjir ini kita terpaksa bermula dari kosong. Sebelum ini kehidupan harian macam biasa sekarang 2-3 minggu kita tidak boleh berniaga," kata Rizal yang telah memulakan kerja-kerja pembersihan di gerainya itu.
Biarpun rata-rata bersikap positif, segala bantuan yang dapat disumbang khususnya membina semula perniagaan mereka amat dihargai.
"Harapan kita supaya kerajaan meringankan beban kita supaya orang kata jangan dah kena bencana kita terus terduduk. Kalau boleh kita bingkas balik, kita mulakan semula," kata Samsul.
Apapun bencana banjir yang disifatkan paling buruk dalam sejarah itu tidak pernah mematahkan semangat Rizal untuk mendirikan semula kehidupan pasca banjir.
"Benda ini kita kena positif, kita bina kembali, bermula dari bawah semula," kata Rizal yang optimis gerainya dapat dibuka dalam masa seminggu.