Revolusi Syria Berlarutan

Revolusi Syria nampaknya tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay baru-baru ini sangat membimbangkan. PBB menganggarkan 70,000 terbunuh sejak revolusi Syria bermula. Angka kematian akan terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 100 nyawa melayang setiap hari. Mungkin petunjuk paling sesuai menggambarkan keadaan revolusi Syria sekarang ialah sebuah laporan yang diterbitkan oleh Agensi Berita Perancis. Laporan itu menceritakan seorang pejuang pemberontak Syria membuat keputusan untuk berhenti berperang dan meneruskan kehidupan desanya sebagai pengembala ternakan. Pejuang itu kecewa dengan kerenah pemimpin revolusi.

Lelaki berkenaan yang enggan namanya didedahkan ketika ditemui di utara Syria menyebut, “Revolusi Syria sudah berakhir. Kami telah dikhianati. Revolusi yang kami banggakan sudah dicemari rompakan dan penyelewengan”. Beliau menjelaskan secara terperinci jenayah yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin pembangkang. Merekalah yang mendorong dan menggalakkan golongan muda berjuang menentang kerajaan dan dalam masa yang sama, mereka bersenang-lenang membina kekayaan dengan merompak harta rakyat dan negara. Menurut laporan berkenaan, keadaan itu menyebabkan semakin ramai pejuang revolusi dan pemberontak membuat keputusan meninggalkan gerakan bersenjata menjatuhkan kerajaan Presiden Bashar Al-Assad.

Israel

Jika sekiranya agensi pelapor berita dari Rusia atau pun Iran, ataupun disiarkan di televisyen milik pemerintah Syria dan pihak yang pro Bashar, sudah tentu ia tidak menimbulkan persoalan dan tujuannya mudah difahami. Bagaimanapun laporan ini dibuat oleh agensi berita Perancis, negara yang menyokong revolusi Syria, malah Paris menjadi tuan rumah kepada pemimpin pembangkang Syria dan forum-forum yang diadakan bagi membincangkan penyelesaian konflik di negara berkenaan. Bahkan Presiden Perancis, Francois Hollande mengeluarkan kenyataan beberapa kali bahawa hari-hari Presiden Syria, Bashar Al-Assad semakin berakhir. Justeru, kita wajar melihat dengan lebih mendalam apa sebenarnya yang berlaku di Syria dan masa depan negara bergolak ini yang kelihatan semakin gelap.

Menurut Ketua Pengarang Akhbar Al-Quds Al-Arabi, Abdul Bari Atwan, hakikat yang tidak diendahkan oleh kebanyakan ialah masyarakat antarabangsa sebenarnya menipu rakyat Syria. Rakyat dijadikan kambing hitam untuk memusnahkan tanah air sendiri. Mereka berperang dengan tentera dan terjerumus dalam perang saudara yang meruntuhkan negara. Akhirnya, segala yang berlaku memberi kelebihan kepada kepentingan Israel.

Bicarakan Pemimpin

Segelintir pembangkang Syria menuntut pemimpin kanan kerajaan Bashar dibicarakan. Namun begitu, perbicaraan juga perlu diadakan terhadap pemimpin pembangkang yang menjerumuskan rakyat Syria ke dalam kancah perang. Sebelum ini, mereka memberikan harapan bahawa kebangkitan rakyat ini akan dibantu melalui campur tangan Tentera Amerika secepat mungkin bagi menjatuhkan kerajaan Damsyik. Mereka juga yakin negara-negara rakan yang berjumlah lebih daripada 150 buah negara akan mengulangi senario sama membabitkan Nato di Libya. Oleh itu, mereka percaya akan diselamatkan secepat mungkin. Bagaimanapun, harapan itu tidak menjadi kenyataan.

Pemimpin pembangkang, Muaz Al-Khatib agak berani apabila menyedari terlebih awal bahawa apa yang berlaku ialah pengkhianatan terhadap rakyat dan revolusi Syria. Keputusan dibuat supaya pertumpahan darah dielakkan melalui inisiatif dialog dengan pemerintah demi mencapai kesepakatan yang membolehkan lebih 700,000 pelarian pulang dan menamatkan penderitaan lebih 20 juta rakyat Syria.

Dialog

Justeru, rakyat Syria tiada pilihan lain melainkan mewujudkan dialog yang serius dan konstruktif. Kerajaan pula perlu berkompromi dengan tuntutan rakyat dan tidak lagi perlu menjadi diktator. Rakyat Syria perlu bersatu merentas sempadan politik, perkauman, dan mazhab di bawah satu platform untuk berdepan dengan pemimpin yang khianat dan meminggirkan hak rakyat, pemimpin yang mengutamakan keamanan Israel berbanding keamanan negara sendiri dengan merosakkan perpaduan negara dan bala tenteranya.

Mungkin juga tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat antarabangsa mempunyai matlamat sama, bermusuh dengan Arab dan Islam, mengukuhkan kedudukan Israel sebagai kuasa nuklear dan pencatur rantau Asia Barat. Seperti yang biasa berlaku, hak asasi manusia dan demokrasi ditepis ke tepi apabila keamanan Israel terbabit dalam percaturan.

Masyarakat antarabangsa telah memusnahkan Iraq dan bala tenteranya. Senario sama berlaku di Syria tetapi dengan resepi berbeza. Konspirasi juga dirancang bagi menjatuhkan kepimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Bayangkan, buat pertama kali selepas revolusi, Tentera Mesir dihalang daripada memperolehi alat-alat ganti untuk peralatan dan senjata rosak. Sudah dimaklumi masyarakat antarabangsa menguasai persenjataannya selepas Mesir diikat dengan perjanjian Camp David dan perjanjian damai dengan Israel.

Muaz Al-Khatib bukanlah pengkhianat revolusi apabila mencadangkan inisiatif dialog seperti mana yang dituduh pemberontak. Sebaliknya pengkhianatnya ialah mereka yang telah menggagalkan revolusi. Malah mereka tidak malu menabur janji campur tangan asing bagi menyelamatkan rakyat Syria. Semoga inisiatif terbaru ini akan dapat membawa kepada perubahan demokratik yang bersandarkan kepada perdamaian melibatkan semua pihak. Apa pun, darah yang sudah tertumpah, tidak akan menjadi sia-sia.