SETIAP tahun, tanpa gagal sejak 1980-an, seboleh-bolehnya saya mencari masa untuk berpesta sebanyak dua kali. Satu, bercuti di akhir tahun selepas tumpuan diberikan kepada kerja yang mendatangkan rezeki. Keduanya, saya ambil masa untuk bertemu “kekasih” di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Tahun ini, PBAKL diadakan bermula 24 April dan berakhir pada Ahad, 4 Mei. Hampir dua minggu berlangsung, penganjur dibiarkan jutaan pencinta buku hanyut dan asyik dalam lautan buku di ruang luas di PWTC itu.
Buku era digital
Bagaimanapun, berbeza dengan era 80 dan 90-an, pesta buku di alaf 20 ditandai dengan kedatangan Internet dan digital. Semua serba-serbi digital sehingga jurnal ilmiah juga dibukukan secara elektronik digital.
Kebimbangan buku akan mati atau pupus kerana datangnya era digital ini, sesiapapun merasainya, termasuk saya. Perkembangan demi perkembangan mengenai industri buku yang tenat dilanda badai digital, diikuti secara cemas, tetapi berharap tinggi jangan buku itu pupus.
Antara perkembangan cukup meresahkan, gudang buku Cambridge iaitu antara penerbit tertua dan terbesar di dunia, kini sedang meroboh dan melupuskan gudang-gudang penyimpanan buku mereka. Daripada ratusan judul buku yang diterbitkan sebulan kini hanya sebahagian sahaja diterbitkan dalam bentuk buku fizikal, selebihnya diterbitkan dalam bentuk e-book.
Hayat buku
Seorang teman yang pulang dari London menambahkan khuatir tentang hayat buku Katanya, “Perkampungan buku pertama di England dulunya tersohor dengan pelbagai buku, kini operasi perniagaannya seolah-olah hidup segan mati tak mahu sahaja,’’ sebelum menyambung cerita pendek kata, industri penerbitan buku secara amnya sedang tenat. Begitulah hebatnya kuasa digital terhadap penerbitan buku dan dalam kehidupan kita hari ini.
Begitu juga , ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.
Akhbar gulung tikar
Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada masa sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap. Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dengan asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada Mac 2012 misalnya, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.
“Tidak, siapa kata buku itu akan mati, bahkan mereka yang mengatakannya seperti itu, Robert D.Downs misalnya, sudah lama mati dahulu, sedangkan buku sekarang terus hidup segar,’’ kata Khairusy Syakirin Has-Yun, pemilik blog Kelab Pencinta Buku ketika saya selitkan kepadanya kebimbangan saya yang satu itu.
PBAKL 2014
Seorang lagi rakan saya, Hazama Harun, menggunakan nama pena Aiza Zizan pula berkata, buku itu akan terus jadi banyak dan tidak merosot bilangannya, cuma kita sahaja kekurangan masa. Nah memang benar, apa yang dikatakan dua rakan saya itu.
Kebimbangan dan kekhuatiran saya itu hilang apabila ke PBAKL 2014 baru-baru ini. Benar, ada buku-buku yang dijual elektronik. Contohnya, beberapa novel Inggeris popular dalam kalangan anak muda seperti “After The Storm” karya Diyar Harraz dan “One Fine Day”, tulisan Rodie R. Banyak juga buku berunsur Islamik dijual, malahan kitab Al-Quran juga dijual secara elektronik. Paling banyak DVD pendidikan ditawarkan, kalau namanya DVD, ia sudah pasti bukan dicetak, bahkan didengar dan dihayati menggunakan bantuan kuasa elektronik.
Tetapi di sebalik perkembangan itu semua, masih ramai yang membeli buku cetak. Tetap ada banyak yang memilih mengambil majalah. Sebahagian besar yang keluar daripada PWTC itu di kiri kanan tangannya memegang beg plastik dipenuhi buku berat. Alhamdulillah, itu tandanya, nyawa buku masih panjang kerana “kekasihnya” kekal setia.
Industri buku rancak
Mengambil kira perkembangan di PBAKL 2014 itu, saya jadi teringat kepada kata-kata Zin Mahmud, individu yang banyak menulis mengenai buku di negara ini. Kata Zin, "Benar, banyak kedai buku ditutup di Amerika Syarikat dan Eropah Barat kerana cabaran daripada Internet, tetapi di Malaysia, kehadiran buku masih rancak dan seronok diraikan.’’ Beliau menyambung: "Untuk mendapatkan buku-buku bermutu di negara maju, carilah di Kinokuniya, sebuah syarikat milik Jepun. Kalaulah Suria KLCC tidak ada Kinokuniya, maka ia hanya menjadi pusat membeli belah biasa." Apa yang menjadikan Suria KLCC sebagai tempat bertamadun bukanlah sekadar kedai-kedai membeli belah dan makanan tetapi juga Kinokuniya. Kehadiran Galeri Petronas, Petrosains, Dewan Filharmonik dan Kinokuniya menjadikannya pusat budaya bermakna bagi Kuala Lumpur.
Pusat-pusat membeli belah yang lain juga menyedari kepentingan kedai buku. Umpamanya Pavillion memiliki Times, Mid Valley ada MPH dan Borders, One Utama ada MPH, Curve ada Borders dan Ikano ada Popular.
Waktu membaca manusia
Untuk mencari buku import murah, kita masih boleh pergi ke Excessbooks dan Payless Books. Untuk buku terpakai, tempatnya ialah Chowrastra, Georgetown, Pulau Pinang. Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit.
Saya jadi gembira, tidak lagi cemas, menyaksikan perkembangan itu, lebih-lebih lagi dua anak remaja saya -- lahir di era digital, cukup teruja diberikan kesempatan hanyut di PBAKL 2014 dan kemudiannya membawa pulang sejumlah buku cetak, bukannya naskhah permainan digital. Mereka juga tidak sabar menunggu kedatangan pameran buku Big Bad Wolf. Itu tandanya, satu lagi nafas untuk buku cetak.