Sebuah akhbar di Indonesia baru-baru ini menyiarkan sebuah laporan muka depan menyebut Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tidak lagi berkawan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Facebook.

Hsien Loong dilapor memutuskan hubungan rakan dengan Susilo di jaringan media sosial itu dan kemudian menghapuskan tag foto Susilo dalam koleksi albumnya.

Tindakan itu sebagai kemuncak ketegangan hubungan antara dua republik itu. Ia susulan langkah Indonesia menamakan sebuah kapal tentera lautnya bersempena dengan nama dua anggota marinnya yang terlibat dalam satu insiden pengeboman di Singapura pada 1965.

Indonesia melihat dua anggota marin itu, Usman dan Harun sebagai wira; Singapura sebaliknya menganggap mereka pengganas. Kejadian itu berlaku semasa konfrontasi yang dilancarkan oleh presiden Indonesia ketika itu, Sukarno sebagai menentang pembentukan Malaysia. Singapura waktu itu masih bahagian daripada Malaysia. Kedua-dua anggota marin itu dibicarakan dan kemudian dihukum mati oleh mahkamah Singapura.

Tetapi berita itu kemudiannya ternyata palsu.

Kerana berlumba mahu menerbitkan berita dengan pantas dek dihambat oleh tekanan dan persaingan yang dimungkinkan oleh kemajuan teknologi serta cara orang menerima berita, akhbar itu — dan sekurang-kurangnya sebuah laman web berita di Indonesia — terperangkap menyiarkan maklumat palsu itu.

Sebuah laman web berita di negara ini juga terjerumus dalam perangkap yang sama.




Maklumat yang salah tetapi ternampak semacam berita betul itu datangnya daripada sebuah laman web 'berita' di Singapura yang secara terang-terang mengisytiharkan kandungannya sebagai "50% berita sebenar". Ia juga mengaku laman web itu sebuah satira yang "melaporkan 50% berita benar menggunakan 50% kewartawanan penyiasatan — yang menghasilkan 25% fakta yang tepat".

"Kami cuba untuk menulis komentar yang lucu," kata laman web itu, dan mengingatkan bahawa sebarang persamaan dengan berita yang sebenarnya hanyalah kebetulan.

Ini bukan kali pertama media terperangkap dengan berita tipu. Akhbar Parti Komunis China, The People's Daily pada 2012 menyiarkan 55 keping foto Kim Jong-un selepas pemimpin Korea Utara itu dinamakan oleh sebuah media parodi di Amerika Syarikat, The Onion sebagai lelaki paling seksi di dunia.

Tidak lama sebelum itu, agensi berita Iran menerbitkan laporan yang mengatakan penduduk kulit putih di wilayah tengah Amerika lebih cenderung memilih Mahmoud Ahmadenijad sebagai presiden mereka berbanding Barack Obama. Laporan itu juga dipetik daripada The Onion.

Dua buah akhbar di Bangladesh pada 2009 terpedaya menerbitkan sebuah laporan tentang 'pengakuan' Neil Armstrong bahawa pendaratannya di bulan pada Julai 1969 adalah kejadian yang diada-adakan. Laporan itu juga datang daripada The Onion yang kononnya memetik kenyataan Armstrong dalam sebuah sidang media. Sidang media itu sebenarnya tidak ada.

Dua akhbar itu kemudiannya menyiarkan ralat. "Kami memohon maaf kerana menerbitkan laporan itu tanpa menyemak maklumatnya," kata kenyataan ralat salah sebuah akhbar itu. Editor sebuah lagi akhbar juga meminta maaf atas kesilapan yang sama, dengan alasan yang serupa — menerbitkan berita tanpa menyemak kesahihannya.

Menyemak kesahihan maklumat adalah tugas pertama wartawan — dan merupakan kerja yang paling utama. Ia disiplin yang paling asas. Setiap maklumat yang sampai ke pengetahuan wartawan harus disahkan terlebih dahulu, tidak boleh diterima mentah-mentah dan disebarkan kepada umum sebagai berita.

Apabila ada wartawan yang meninggalkan kerja yang terutama ini, apakah lagi maknanya menjadi wartawan? Kegagalan mengesahkan maklumat akan mendedahkan wartawan dan media tempat dia bekerja kepada malapetaka. Media itu akan berdepan dengan tindakan mahkamah, misalnya, dan hilang kredibiliti.

Berita parodi perihal Hsien Loong tidak lagi berkawan dengan Susilo di Facebook itu misalnya masih boleh disemak langsung dengan akaun Facebook kedua-dua pemimpin itu. Bahawa kerja menyemak itu tidak dilakukan menyebabkan media yang menyiarkannya boleh jadi bahan ketawa, sama seperti mana orang ketawa dengan parodi dan satira.

Terlepas daripada semua ini, apakah boleh pula masyarakat menerima begitu saja maklumat yang terbit sebagai berita yang diketengahkan sebagai berita betul?

Tidak mungkin sebuah cerita dapat berdiri sendiri tanpa kita melihat atau berpeluang melihat sisi-sisinya yang lain. Tidak mungkin kita mendengar hanya cerita sebelah pihak dan kemudiannya dipaksa untuk percaya bulat-bulat.

Sekiranya itu terjadi, barangkali tidak ada bezanya berita itu dengan berita parodi dan berita satira yang memerangkap sesetengah media baru-baru ini.