Pulau Aman bukan sesuatu yang asing bagi penduduk sekitar Batu Kawan, Pulau Pinang.

Ia tidak begitu besar jika dibandingkan dengan mana-mana pulau di Malaysia tetapi menjanjikan keistimewaan tersendiri buat mereka yang ‘kaki pancing’ atau ingin menikmati keindahan flora dan fauna.

Ikuti pengalaman sehari saya dan jurukamera Rizal Rahim bagi mengenali lebih dekat penduduk dan sentuhan alam semula jadi Pulau Aman.




'Uniknya Pulau Aman'

Jam 12 tengah hari. Ketibaan saya dan Rizal disambut ketua kampung, Sanusi Ismail. Tidak lokek dengan senyuman, lelaki berusia lebih lima abad ini mula menyusun cerita mengenai Pulau Aman.

Cerita Sanusi, Pulau Aman ini banyak istimewanya selain ada tempat bersejarah dan lokasi tumpuan ‘kaki pancing’ masih banyak lagi khazanah alam yang belum diketahui orang ramai.

“Contohnya di kawasan paya bakau di sebalik pulau ini. Sebenarnya ada pelbagai jenis ‘ladybird’ di kawasan itu. Saya fikir ini boleh diketengahkan untuk orang ramai yang mahu merasai pengalaman dikelilingi serangga tersebut," katanya.

Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Sanusi kerana kawasan paya bakau kebiasaannya menjadi habitat kelip-kelip


'Ekonomi penduduk pulau'

Perbualan saya dan Sanusi beralih kepada bagaimana penduduk Pulau Aman menjana pendapatan. Jelas Sanusi, penduduk tiada pilihan lain selain mengharapkan kepada hasil laut.


Penduduk di Pulau Aman, Pulau Pinang bergantung kepada hasil laut.
Pemandangan di Pulau Aman yang dipenuhi chalet untuk mereka yang ingin memancing. - Astro AWANI/Hans Yusoff

“Kami di pulau ini memang bergantung kepada hasil laut. Bagaimanapun, kebanyakan antara kami sudah tidak menangkap ikan sebaliknya mengambil upah membawa ‘kaki pancing’ ke kawasan lain untuk memancing.

“Untuk pengetahuan, laut sekarang sudah tidak seperti dahulu. Ikan mula berkurangan terutama selepas adanya Jambatan Sultan Abdul Halim muadzam Shah," luahnya.

Saya terdiam seketika. Susah juga kalau hasil laut semakin berkurangan. Apa lagi boleh dilakukan penduduk untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga?


'Cabaran penduduk Pulau Aman'

Sanusi mengaku penduduk Pulau Aman kini mula menceburi bidang pelancongan bagi menambah hasil pendapatan. Setakat ini terdapat lebih 13 chalet di seluruh pulau itu.

“Kami cuba ‘survive’ dengan membina chalet bagi menarik kemasukan pelancong yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi. Tetapi ini memerlukan modal yang besar dan saya akui chalet yang ada tidak semewah seperti di lain-lain tempat.

“Saya harap ada pihak boleh membantu kami untuk memajukan lagi industri chalet sekali gus menjadikan pulau ini sebagai salah satu tumpuan pelancong bertaraf antarabangsa di Pulau Pinang,” katanya.


Antara kenderaan yang sering diguna pakai oleh penduduk Pulau Aman, Pulau Pinang.
Scooter yang disediakan untuk 'kaki pancing' di Pualau Aman. - Astro AWANI/Hans Yusoff


'Selamat tinggal Pulau Aman'

Matahari kian berlabuh menandakan hari akan berganti malam. Saya mohon diri kepada Sanusi untuk pulang ke Batu Kawan sebelum kami terlepas bot terakhir pada jam tujuh malam.

Sempat saya bertanya pada Sanusi, apa lagi yang diharapkan untuk Pulau Aman?

Tidak sah jika tidak menikmati sajian Nasi Goreng Seafood yang menyelerakan.
Antara hidangan istimewa yang disediakan untuk pelancong di Pulau Aman. - Astro AWANI/Hans Yusoff

“Saya tidak minta banyak. Mungkin kami ini hanya komuniti kecil di kawasan ini. Bagaimanapun, kami amat berharap agar tidak dipinggirkan. Kadang kala masalah yang dihadapi mungkin kelihatan kecil.

“Kebetulan bumbung bot di jeti sudah rosak akibat dibadai ribut pada bulan November tahun lalu. Sebelum berlaku perkara tidak diingini, harap ada pihak sudi membantu," harap Sanusi.