Sempena perlawanan final kejohanan UEFA EURO 2024, Astro BizOne membawakan kemeriahan dan keghairahan pertembungan Sepanyol dengan England di Berlin ke Restoran Hakim Seksyen 7, Shah Alam.
Biarpun sepak mula perlawanan itu bermula jam 3 pagi Isnin waktu tempatan, ia tidak menghalang ribuan pengunjung untuk memenuhi pekarangan restoran ‘mamak’ itu sejak acara membuka tirai pada jam 10 malam Ahad.
Mana tidaknya, pelbagai aktiviti disediakan untuk pengisian hadirin yang disusun sepanjang acara, bermula dengan perlawanan permainan Playstation 5, ada juga sesi Bual Bicara Bola oleh Sinar Harian yang menampilkan bekas penyerang prolifik negara, Safee Sali.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASTRO Euan Smith menyatakan keterujaan untuk bersama meraikan budaya bola sepak negara ini yang unik dan agak berbeza dengan di negara asalnya England.
Beliau seronok melihat orang ramai menikmati acara yang dianjurkan serta jaminan siaran langsung yang dibawakan tanpa gangguan dan berkualiti tinggi untuk kepuasan para hadirin.
“Kami menayangkan EURO 2024, bukan hanya untuk mereka yang miliki Kotak ASTRO tapi juga mereka yang menonton di rumah dengan Sooka, dan di sini untuk sesiapa sahaja yang mahu datang dan bersosial.
“Sejurus ini (EURO 2024) selesai, akan datang temasya Olimpik, kita ada (kejohanan) sepak takraw yang akan bermula dalam beberapa minggu lagi, Liga Perdana Inggeris akan kembali jadi mereka ini (para pemain) akan berehat beberapa minggu dan kita akan kembali dengan kesemua 380 perlawanan secara langsung sekali lagi.
“Seperti yang saya kata, tidak kira apa pun sukan yang anda mahu tonton, ASTRO ada segalanya untuk anda, kami secara asasnya adalah rumah untuk sukan di Malaysia,” tegasnya.
Selain barisan kepimpinan ASTRO serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Yang Berhormat Syed Ahmad Syed Abdul Rahman/Altimet yang juga duta kempen ‘Layan Ori, Jangan Curi’, turut sama hadir memeriahkan acara adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Ini kali kedua beliau ikut sama dalam parti tontonan Astro BizOne, melihat acara ini menjadi satu wadah kebersamaan Malaysia yang pada masa sama membawa limpahan manfaat tidak hanya kepada pengunjung tetapi juga perniagaan yang ada sekitarnya.
“Ini budaya Malaysia di mana mereka dapat datang tonton bola sepak bersama kawan-kawan, dapat nikmati ‘vibe’ macam di stadium.
“Keduanya, ini memberi peluang kepada kedai-kedai dan restoran-restoran kita untuk mendapatkan pelanggan dan suasana lebih meriah melalui siaran yang rasmi dan tidak terganggu, memberi kepuasan kepada semua,” katanya.
Astro BizOne Watch Party di Restoran Hakim sempena final UEFA EURO 2024 ini dijayakan dengan kerjasama dan sokongan daripada Sinar FM, Sinar Harian, serta jenama tempatan iaitu RedONE, Jasmine, Wonda, Bobbysan, Mama Joe dan Mahsuri.
Para pengunjung tidak pulang dengan tangan kosong. Ada yang bernasib baik dengan pelbagai hadiah lumayan yang diberi daripada bermacam-macam aktiviti dan cabutan bertuah yang mengisi jeda sebelum, semasa separuh masa pertama, dan seusai perlawanan yang menyaksikan Sepanyol menjulang Piala Eropah untuk kali keempat selepas 1964, 2008, dan 2012.
“Alhamdulillah, amat meriah dan saya berterima kasih kepada ASTRO untuk acara yang cukup meriah, siaran yang jelas dan lancar tanpa gangguan, serta hadiah-hadiah menarik yang diberikan,” kata Amirul Hakim Hamid, salah seorang pengunjung bertuah yang membawa pulang bingkai jersi kelab bola sepak Chelsea FC bertandatangan pemain Jorginho.
ASTRO BizOne Watch Party akan diteruskan selepas ini bagi perlawanan Liga Super Malaysia juga sukan-sukan lain, untuk pengalaman tontonan secara langsung yang tiada tandingan.