KLANG:
Musim kejohanan besar bola sepak kini tiba lagi, dan semestinya tiada pengalaman yang lebih hebat daripada kemeriahan menonton bersama di restoran mamak dengan siaran tanpa gangguan, berdefinisi tinggi.

Maka acara Astro BizOne Watch Party diteruskan, meraikan premis makan minum yang menggunakan perkhidmatan Astro untuk menyiarkan kandungan secara sah, dalam usaha menyebarkan mesej ‘Layan Ori, Jangan Curi!’

Terbaharu, acara tontonan secara langsung di bawah kempen anti-siaran kandungan haram oleh Astro itu menerjah Restoran Nasi Kandar Mesra Maju di Bandar Botanik, di sini, membawakan siaran secara langsung perlawanan Liga Super Malaysia antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sri Pahang.

Setia hadir pada setiap acara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah jaya yang juga ikon anti-cetak rompak Astro, Yang Berhormat Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai YB Altimet, menegaskan untuk sekian kalinya bahawa rakyat Malaysia perlu ada prinsip serta integriti dalam menghargai penat lelah titik peluh orang lain.

“Walaupun yang kita tengok secara percuma itu bukan mengambil sesuatu secara fizikal, tetapi ia masih dikategorikan sebagai mencuri kerana ia merupakan harta intelek atau kandungan yang dicipta dan dimiliki orang lain.

“Dan ada kos atau harganya untuk mereka menghasilkan kandungan tersebut.

“Jadi bila kita menonton kandungan-kandungan terbabit, mestilah ada bayarannya demi kesinambungan penghasilannya, syarikat-syarikat penerbit, serta kebajikan pekerja-pekerja mereka.”

Pengacara, Ray Dapdap beramah mesra dengan pengunjung di acara Astro BizOne Watch Party di Restoran Nasi Kandar Mesra Maju, Klang.

Acara pada petang Sabtu itu dikendalikan oleh penyampai radio, pengacara dan pelakon, Ray Dapdap, yang turut berkongsi sentimen yang sama serta menyeru setiap anggota masyarakat untuk bersama menjalankan tanggungjawab bagi membanteras masalah ini.

“Kami sebagai penghasil kandungan, penat-penat bekerja untuk hasilkan sesuatu, tak adillah untuk orang lain nikmatinya secara percuma sewenang-wenangnya.

“Sebagai pengguna yang bertanggungjawab, kita kena tegur dan beritahu (pemilik premis yang menggunakan perkhidmatan siaran haram), terpulang kepada mereka untuk ikut atau tidak, yang penting anda sudah menjalankan tugas sebagai pengguna yang jujur.

“Carilah kedai-kedai makan yang menyokong siaran kandungan secara sah seperti restoran yang kita adakan acara ini.”

Manfaat menggunakan perkhidmatan siaran secara sah bukan sahaja dinikmati oleh para pelanggan, malah pengusaha premis sendiri apabila mereka terjamin daripada masalah gangguan siaran serta tindakan pihak berkuasa.

Menurut pengusaha Restoran Nasi Kandar Mesra, Ridwan Sarifuddin, restorannya sudah menggunakan perkhidmatan Astro sejak 10 tahun yang lalu dan ternyata kesenangan dirasainya berpanjangan.

“Pelanggan berulang sebab ada Astro, keluarga pun datang ke sini, ada pilihan lebih banyak untuk tontonan mereka dan kita punya perniagaan pun boleh berkembang apabila kepuasan penonton sudah dijamin.”

Selain siaran secara langsung, pelbagai pengisian turut diadakan seperti cabutan bertuah, kuiz trivia, pertandingan meneka jumlah kacang dalam balang yang dibawakan oleh Mama Joe selaku penaja bersama acara tontonan tersebut, yang menawarkan pelbagai hadiah menarik buat para pengunjung.

Sekitar acara Adtro BizOne Watch Party sempena Euro 2024 di Restoran Kweenz, Puchong tempoh hari.

Untuk maklumat lanjut mengenai Astro BizOne Watch Party, layari laman web https://business.astro.com.my atau ikuti laman sosial rasmi Astro Malaysia.