PUCHONG: Jenama peneraju realiti maya (VR) dengan inovasi bebas dan keupayaan penciptaan R&D, PICO hari ini melancarkan produk terbaharunya, PICO 4 bagi peminat di Malaysia.

Pengarah Serantau PICO Asia Tenggara, Allen An berkata, set kepala VR all-in-one tersebut boleh diakses oleh semua pengguna dengan menggabungkan keselesaan dan kecemerlangan prestasi.

“Dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon XR2, set kepala VR tanpa wayar ini tampil dengan paparan Pancake Optic 4K + 90Hz selain rekaan badan yang sangat ringan (295 gram) bagi pengalaman pengguna yang intuitif.

“Set kepala VR PICO 4 turut dicipta dengan pek bateri 5300mAh bagi menawarkan tempoh bermain permainan sehingga tiga jam dan empat jam bagi tontonan video.

Inovasi VR | Kecemerlangan prestasi dan gabungan keselesaan dalam PICO 4

“Terdapat banyak kandungan dalam set kepala VR termasuk kecergasan, sosial serta video VR PICO dalam tontonan 360 darjah. Ia tentunya memberi pengalaman berbeza, menakjubkan dan interaktif kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada pelancaran set kepala VR PICO 4 di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini pada Rabu.

Menurut Allen, model PICO 4 turut dilengkapi dengan PICO OS 5.0 yang membolehkan anda bermain permainan video dalam dunia VR dan bersama kenalan anda.

Reka bentuk ergonomik set kepala VR PICO ini juga menyokong penggunaan pengatur cermin mata yang disertakan di dalam kotak.

“Lebih menarik, reka bentuk ergonomik set kepala ini juga menyokong penggunaan pengatur cermin mata yang disertakan di dalam kotak, ia membolehkan pengguna bercermin mata untuk menikmati dunia VR tanpa menjejaskan keselesaan atau kejelasan.

“PICO 4 128GB dan 256GB masing-masing ditawarkan pada harga RM1,699 dan RM1,999 bermula hari ini menerusi pengedar sah PICO selain turut boleh didapati dari platform aplikasi beli-belah Lazada dan Shopee selain TikTok Shop,” ujarnya.

Bagi pembeli terawal dalam tempoh bermula hari ini hingga 16 Oktober ini, mereka akan ditawarkan potongan sebanyak RM100. Kesemua peranti jenama PICO akan diedarkan oleh pengedar sah, Rainbow Distribution Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, orang ramai boleh merasai pengalaman terbaik set kepala VR PICO 4 dengan berkunjung ke Orange Concourse, pusat beli-belah Sunway Pyramid, bermula hari ini hingga 16 Oktober.