TULAR baru-baru ini seorang guru memuat naik hasil lukisan pelajarnya yang melukis gambar susur galur keluarga besar watak adi wira terkenal - Ultraman, Power Rangers dan Kamen Rider.

Menurut guru Literasi Komputer di SM Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Nurul Izani Ainun, pelajar berkenaan yang menghidap autisme sememangnya gemar melukis dan akan meluangkan masa setelah tamat kelas dengan melukis watak-watak superhero kegemarannya.

"Sebenarnya saya memang tahu dia suka melukis dan saya pernah tengok dia melukis macam-macam karakter kartun animasi. Tapi kali ni saya terkejut dia melukis segala emak datuk nenek moyang karakter-karakter superhero berkenaan.

"Kemudian saya minta izin untuk dikongsikan di Facebook," katanya kepada Astro AWANI

Menariknya, lukisan Muhammad Amsyar Anas itu dihasilkan dalam bentuk thumbnail dan dilukis pada buku kosong yang memaparkan karakter adi wira kegemarannya dari tahun 1966 hingga kini.

Kata Nurul Izani lagi, melalui lukisan yang dihasilkan Amsyar ini dapat membuka mata masyarakat di luar sana akan potensi pelajar-pelajar berkeperluan khas dan berupaya mengembangkan bakat mereka untuk menyambung pengajian dan bekerja kelak.

"Pelajar berkeperluan khas ini kebanyakkan dari segi akademik agak lemah. Oleh itu, sebagai guru atau ibu bapa kita perlu mencari di mana potensi mereka agar dapat digilap.

"Ini juga yang menjadi sebab sekolah menengah pendidikan vokasional ditubuhkan untuk mendedahkan mereka dengan bidang kemahiran agar mereka dapat melengkapkan diri di masa depan bersaing dengan orang normal," tambahnya lagi.

Posting ini mendapat hampir 6,000 perkongsian dan 4,000 likes di Facebook.

superhero
Kredit: Facebook Nurul Inazi