KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbang langkah menyediakan insentif bersesuaian kepada majikan yang menggaji belia-belia autistik bagi memastikan anak muda daripada golongan tersebut mendapat akses pekerjaan yang sewajarnya.


Ringkasan AI
  • Kerajaan diminta menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji belia autistik untuk memastikan mereka mendapat akses pekerjaan yang sewajarnya.
  • Cadangan untuk membuka taska yang menerima anak bawah umur dua tahun dengan fasiliti moden untuk membantu golongan belia berkeluarga fokus pada kerjaya mereka.
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharapkan dapat membawa isu ini ke Jemaah Menteri untuk melaksanakan polisi yang menyokong industri yang berkolaborasi dengan agensi kerajaan dan menerima insentif.


Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, langkah itu perlu bagi mengatasi isu kerjaya dalam kalangan golongan istimewa dan berkeperluan khas di Malaysia serta memastikan mereka tidak terus dipinggirkan oleh masyarakat.

“Terdapat laporan mengatakan kira-kira dua juta kanak-kanak di Malaysia ini berada dalam kategori autisme, dan laporan juga mengatakan 90 peratus individu autisme ini apabila dewasa tidak dapat bekerja kerana tiada peluang pekerjaan.

“Oleh itu, saya berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat campur tangan dengan membawa isu ini ke Jemaah Menteri untuk melihat bagaimana polisi ini boleh kita laksanakan kepada industri yang berkolaborasi dengan agensi serta menerima insentif dan geran daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Menteri Belia dan Sukan pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Malaysia 2024 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, baru-baru ini.

Dalam perbahasan tersebut, beliau juga mencadangkan agar kerajaan dapat membuka taman asuhan kanak-kanak atau taska yang boleh menerima kemasukan anak-anak bawah umur dua tahun di seluruh negara dengan dilengkapi fasiliti moden untuk diakses oleh keluarga belia terbabit.

Hal ini, katanya, bertujuan membantu golongan belia berkeluarga memberi fokus dan tumpuan kepada kerjaya mereka, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ketika ini, kerajaan banyak membuka taska seperti Taska KEMAS dan Taska Perpaduan, tetapi had umur pengambilan hanya bermula umur dua tahun.

“Malangnya, kes-kes kemalangan jiwa berlaku kepada anak-anak di bawah umur dua tahun, terutamanya di taska swasta.

“Jadi, saya berpendapat isu ini cukup dekat di hati belia yang berkeluarga dan runsing terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika berjauhan.

“Justeru, KBS perlu meletakkan isu ini sebagai keutamaan untuk diangkat kepada kerajaan supaya penyediaan taska-taska ini dapat disegerakan,” tambah beliau.