PELBAGAI perkara pelik jadi ikutan dan trend, terutamanya perkara yang dikongsikan di platform media sosial.

Sejak sebulan yang lepas, trend makan kapsul sabun pencuci fabrik atau lebih dikenali sebagai ‘Tide Pod Challenge’ ini menjadi permainan baharu buat remaja di media sosial terutamanya di Amerika Syarikat.

Permainan itu memerlukan remaja memakan kapsul berwarna-warni yang menyerupai gula-gula. Bukan itu sahaja, kapsul tersebut turut dicampurkan dalam masakan.

Trend yang dianggap ‘gila’ ini mendapat perhatian dari pakar perubatan, ibu bapa dan pembekal sabun fabrik.

Pengarah Pusat Informasi Racun Florida, Dr. Alfred Aleguas Jr sendiri mengaku, menelan sabun fabrik adalah satu aktiviti merbahaya.

“Walaupun menelan sedikit cecair sabun fabrik, ia akan menyebabkan cirit-birit dan muntah-muntah. Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas."

Dalam pada itu, pembekal sabun fabrik Tide dalam satu kenyataan turut menyatakan bahawa cecair sabun mereka telah dikhaskan untuk mencuci pakaian dan tidak boleh dijadikan sebagai alat permainan.

Portal Mirror.co.uk, mengakui seorang remaja yang enggan namanya didedahkan menceritakan tentang cabaran yang diketahuinya melalui khidmat pesanan ringkas Whatsapp sebelum merekodkan kejadian tersebut di Twitter.

“Saya tidak takut sebab saya tahu saya tidak akan menelannya. Hanya gigit sahaja dan saya boleh mencuci mulut saya selepas itu."

Rata-rata netizen turut menggelarkan permainan itu sebagai satu permainan yang tidak berfaedah dan meminta agar trend itu dihentikan.

Terdahulu, ‘permainan berbahaya’ yang dipanggil #PassOutChallenge atau menekan dada dan 'mati selama lima saat' turut menjadi tular dalam kalangan pelajar asrama.

Kegilaan permainan remaja itu telah dikritik hebat oleh pengguna laman sosial dan meminta warden asrama memantau aktiviti anak-anak di asrama.

BACA: Berhenti main #PassOutChallenge, boleh sebabkan strok atau maut