Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia meneruskan inisiatif kesedaran alam sekitarnya dengan tema #GREEN24 dengan gerakan kesedaran alam sekitar 24 jam bagi mendidik dan mempromosi kesedaran terhadap perubahan iklim dunia.

Kempen yang dilancarkan November lalu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat penerbangan itu di rantau Asean.

Dalam satu mesej video khas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengajak orang ramai untuk menjadi lebih proaktif dalam melindungi alam sekitar dan bumi.


“Dirantau ini, tidak ramai yang tahu mengenai isu-isu yang timbul akibat perubahan iklim. Justeru, kami berpendapat bahawa cara yang terbaik adalah dengan memberitahu orang ramai mengenai isu ini.

“Ramai di antara kita tidak menyedari kesan dari ketidaksedaran menjaga alam sekitar bagi jangka waktu panjang, tetapi di AirAsia kami telah melihat kesan-kesan yang timbul akibat perubahan iklim seperti Taufan Haiyan yang melanda Tacloban di Filipina, banjir yang berlaku di serata rantau ini dan perubahan iklim yang ketara semenjak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini," kata Tony dalam video tersebut.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya untuk beri keutamaan kepada bumi kita sebagaimana kita menjaga insan yang tersayang.

“Kita sentiasa menjaga orang tersayang dan kita juga sentiasa mengutamakan mereka dalam perkara-perkara yang ingin kita lakukan. Namun, sudah tiba masanya untuk kita juga mengutamakan bumi kita.

“Sudah tiba masanya untuk kita memberitahu dunia supaya menjaga planet ini dengan lebih baik, yang juga merupakan tempat tinggal kita,” kata Tony.

Aktiviti utama #Green24 akan diadakan dari 29 hingga 30 Januari 2016 di seluruh negara di mana Kumpulan AirAsia beroperasi,

AirAsia mengalu-alukan masyarakat di seluruh rantau ini menyertai usaha menggalakkan penjagaan alam sekitar di rumah masing-masing, tempat kerja dan negara secara amnya.

Sebelum ini, aktiviti awal yang telah diadakan pada bulan November 2015 menyaksikan lebih 150 sukarelawan dari seluruh Kumpulan Syarikat AirAsia dan Tune berkumpul bersama-sama untuk membersihkan air terjun Kanching di Rawang.

Lebih 600kg sampah telah dikutip dalam masa jangka singkat selama 90 minit yang dibersihkan sewaktu aktiviti membersihkan air terjun ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen #Green24 ini dan juga cara bagaimana untuk menyertainya dengan melawat airasia.com/green24

Video penuh berkenaan boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=kgbQHr84LeE