EMOSI yang sihat melahirkan individu yang mempunyai sikap dan sifat yang positif dalam kehidupan. Sebagai manusia, emosi mempunyai peranan besar dalam kehidupan kita. Emosi merupakan aspek unik yang mampu mempengaruhi kehidupan wanita dan lelaki dalam kehidupan sehari-harian. Oleh itu, untuk menjadi hebat, amat penting untuk kita menjaga emosi kita seperti juga kita menjaga penampilan diri kita!

Terdapat kajian yang dijalankan oleh para sarjana berkaitan emosi dan jantina lelaki dan wanita. Dalam rencana yang ditulis oleh seorang pakar psikologi personaliti, Dr.David P. Schmitt berpandangan, emosi merupakan sebahagian ciri kecil daripada profil perbezaan jantina. Selain itu, beliau juga berpandangan apabila penyelidikan lain mengambilkira perspektif bidang yang bersifat multivariasi, ianya akan menjurus kepada dapatan bahawa emosi antara lelaki dan wanita itu adalah berbeza dan bersifat sederhana.

Antara kajian yang menarik adalah dapatan meta-analisis perbezaan jantina dalam perasaan emosi berkaitan "moral" (Else-Quest et al., 2012), wanita cenderung mengalami lebih banyak emosi negatif, seperti lebih banyak rasa bersalah (d = -0.27) dan rasa malu. (d = -0.29).

Manakala, dalam kajian silang budaya oleh Fischer dan rakan-rakanya (2004) di 37 negara mendapati wanita cenderung untuk lebih melaporkan emosi negatif. Di antara negara yang mempunyai ekuiti jantina sosiopolitik yang lebih tinggi, perbezaan jantina didapati mengalami rasa sedih (d = -0.26), ketakutan (d = -0.26), rasa malu (d = -0.12), dan rasa bersalah (d = -0.12). (Fischer & Manstead, 2000).

Kajian terkini pada 2021 oleh Dr. Beltz dan rakan penyelidiknya dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara lelaki dan pelbagai kumpulan wanita dalam kajian tersebut dan dapatan menunjukkan bahawa emosi lelaki berubah-ubah pada tahap yang sama seperti wanita. Ini menunjukkan bahawa  stereotaip terhadap wanita dan emosi oleh masyarakat perlu diperbaiki dan diubah pandangan tersebut. Wanita pula perlu memainkan peranan penting bagi mengubah pandangan berkenaan untuk menjadi seorang wanita yang hebat di tempat kerja.

Stigma terhadap emosi wanita terutama dalam kepimpinan

Sempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang bertemakan “Saksama Bersama” adalah sangat bertepatan kerana lapisan masyarakat perlu memahami bahawa kepentingan untuk mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan keupayaan  wanita dalam pelbagai aspek dapat diupayakan. Wanita cenderung menghadapi pelbagai stigma dan stereotaip terhadap kemampuan mereka terutama berkaitan pengawalan emosi dalam kepimpinan. Terdapat pandangan yang menyatakan wanita tidak sesuai menjadi pemimpin dalam organisasi kerana beremosi dan tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik terutama dalam pembuatan keputusan. Adakah ini benar? Kepercayaan bahawa wanita lebih beremosi daripada lelaki adalah salah satu stereotaip jantina terkuat yang dipegang dalam budaya Barat (Shield,2002).

Emosi dinyatakan sebagai penghalang asas kepada keupayaan wanita untuk mencapai dan berjaya dalam peranan kepimpinan. Sebenarnya, apabila wanita berada dalam peranan kepimpinan terdapat ketidaksepadanan antara paparan emosi yang diharapkan kepada mereka sebagai wanita (peranan sosial mereka sebagai penjaga rumah tangga “caretaker”) dan kawalan emosi iaitu yang diharapkan daripada mereka sebagai pemimpin (Victoria L. Brescoll, 2016). Ketidaksepadanan inilah yang menyebabkan wanita menghadapi kesukaran untuk menyampaikan emosi yang sesuai di tempat kerja. Wanita dilihat lebih komunal seperti mesra, baik hati, mengasuh dan lain-lain.

Menurut kajian di Sri Lanka oleh Dr Salfiya Ummah M.A.C pada 2014, mendapati daripada 50 pengukuran item yang digunapakai untuk mengukur kestabilan emosi pemimpin wanita muslim menemukan bahawa pemimpin wanita itu lebih optimis, tenang, bertolak ansur dan empati di mana mereka lebih bergantung kepada membuat keputusan dan bukannya berautonomi.

Secara keseluruhannya kestabilan emosi pemimpin wanita muslim adalah tinggi di tempat kerja mereka. Ianya boleh dirangkumkan bahawa emosi sihat itu akan melahirkan wanita yang hebat juga.

Terdapat banyak lagi kajian-kajian daripada para sarjana seluruh dunia yang mengkaji tentang perhubungan emosi dan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang. Hal ini menunjukkan bahawa wanita hebat itu perlu bijak dan tahu mengendalikan emosi mereka ketika memimpin satu unit, organisasi atau syarikat yang besar. Ini adalah kerana pengendalian emosi dan cara tindak balas mereka dalam menangani krisis serta isu di tempat kerja adalah diperhatikan serta dibuat penilaian secara tidak langsung oleh para staf yang dipimpin.

Tips untuk wanita hebat dan berjaya menguasai kecerdasan emosi

Semua orang menginginkan tempat kerja yang harmoni dan menggembirakan termasuk wanita. Tidak kiralah jika wanita itu adalah seorang yang dipimpin atau diberikan tanggungjawab untuk memimpin, segala tindakan yang dilaksanakan memerlukan kematangan dan kebijaksanaan. Emosi memainkan peranan penting dalam hal ini kerana keperluan emosi yang sihat dan baik dapat meningkatkan produktiviti wanita untuk menjadi seorang wanita hebat.

Beberapa tips dan pendekatan yang boleh diambil oleh para wanita untuk menguasai kecerdasan emosi atau “emotional intelligence” iaitu antaranya :

(i) membangunkan keupayaan komunikasi yang baik antara rakan sekerja, staf yang dipimpin dan ketua jabatan. Komunikasi yang jelas iaitu tidak terlalu pasif dan tidak terlalu agresif apabila melontarkan idea dan berada dalam perbincangan perlulah diamalkan serta menghormati pandangan serta menghormati idea orang lain.

(ii) memberi respon dan bukannya bertindak balas terhadap konflik. Konflik akan sentiasa berlaku di tempat kerja dan kadang-kala tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, sebagai wanita hebat kita perlu bijak menangani konflik ini dengan kekal tenang semasa berada dalam situasi yang tertekan. Dalam situasi yang begini, jangan melaksanakan sebarang keputusan impulsif  yang boleh membawa kepada masalah yang lebih besar

(iii) meningkatkan kemahiran mendengar. Wanita dikenali sebagai sosok gender yang mempunyai kemahiran mendengar yang tinggi. Wanita yang hebat disarankan untuk memahami apa yang diperjelaskan sebelum memberi jawapan serta perlu memberi perhatian dan fokus terhadap perkara yang dibincangkan.

(iv) Sentiasa bermotivasi tinggi dan sikap motivasi diri ini dapat memotivasikan orang lain kerana wanita hebat mempunyai tahan daya diri yang luar biasa dalam menangani sebarang cabaran.

Kesimpulan

Justeru itu, tidak dinafikan bahawa pengawalan emosi yang baik dan sihat adalah diperlukan oleh para wanita terutama untuk menjadi seorang wanita hebat apabila berada di tempat kerja. Jika wanita bijak mengawal emosi ketika berada dalam situasi yang kritikal, ia dapat mempamerkan tingkahlaku  yang positif dalam menangani sebarang cabaran dan krisis yang tiba.

Seterusnya, kejayaan wanita dalam mengawal emosi di peringkat pertengahan dan pengurusan utama  dapat mengubah persepsi staf yang dipimpin atau ketua jabatan dan juga masyarakat terhadap pekerja wanita tersebut. Pengawalan emosi yang baik juga dapat meningkatkan kesejahteraan hidup serta kesihatan mental.

Petikan kata-kata daripada HAMKA iaitu “perempuan adalah tiang negara. Jika perempuannya baik,baiklah negara dan jika mereka buruk, buruklah pula negara” mencerminkan bahawa wanita hebat itu mempunyai peranan besar dalam pembangunan sesebuah negara itu. Oleh itu, tidak dinafikan lagi pembinaan emosi yang sihat dapat melahirkan wanita hebat!.



* Penulis adalah:

1.Salmiwati Othman ialah calon PhD Pengurusan Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM & Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi MARA

2. Dr Ahmad Sauffiyan Hasan ialah penganalisis perang saraf media dan mantan Felo Penyelidik Media dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA




Rujukan
1. David P Schmitt, PhD (2016).Are women more emotional than Men ? Women’s negative emotionality as experienced around the world. https://www.psychologytoday.com/us/blog/sexual-personalities/201504/are-women-more-emotional-men
2. Alexander Weigard, Amy M. Loviska & Adriene M. Beltz (2021). Little evidence for sex or ovarian hormone infuences on afective variability . Scientific Reports
3. Else-Quest, N. M., Higgins, A., Allison, C., & Morton, L. C. (2012). Gender differences in self-conscious emotional experience: A meta-analysis. Psychological Bulletin, 138, 947-982.
4. Fischer, A. H., Rodriguez Mosquera, P. M., Van Vianen, A. E., & Manstead, A. S. (2004). Gender and culture differences in emotion. Emotion, 4, 87-94.
5. Fischer, A. H., & Manstead, A. S. (2000). The relation between gender and emotions in different cultures. Gender and emotion: Social psychological perspectives (pp. 71-94).
6. Victoria L. Brescoll (2016). Leading with their hearts? How gender stereotypes of emotion lead to biased evaluations of female leaders .The Leadership Quarterly.
7. M.A.C. Salfiya Ummah (2014). Emotional stability among Muslim Women Leadership: Special Reference to Women Leaders working in Government Organizations in Ampara District, FIA, SEUSL.
8. Hamka. Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan  ISBN9786022502364