KUALA LUMPUR:Kajian dilakukan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mendedahkan pendapatan isi rumah penengah di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 23 peratus berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu kepada RM2,233.

Namun, angka itu masih lagi 9 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu bagi kedua-dua isi rumah lelaki dan wanita.

Walau bagaimanapun, pemulihan pendapatan bagi ketua isi rumah OKU adalah yang paling teruk, iaitu 24 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu.


Pendapatan isi rumah penengah meningkat sebanyak 23 peratus berbanding semasa PKP

Hampir 4 daripada 10 isi rumah mempunyai pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM2,000.

Lebih ramai keluarga yang pendapatannya sudah bertambah berbanding pada Mei 2020 tetapi jumlah itu masih rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Peratusan Isi Rumah Mengikut Kelas Pendapatan

Kajian turut mendedahkan kadar pengangguran agak tinggi dalam kumpulan tertentu.

1 daripada 3 ketua isi rumah kurang upaya menganggur, dan jumlahnya lebih tinggi dalam kalangan OKU secara keseluruhan, iaitu 60% tidak bekerja.

Kadar pengangguran bagi ketua isi rumah wanita juga agak tinggi iaitu 10%, sementara 24% dari keseluruhan wanita tidak bekerja.


 kadar pengangguran agak tinggi dalam kumpulan tertentu
Peluang pekerjaan yang kurang dan simpanan yang menyusut menyukarkan mereka untuk mengharungi kesan ekonomi akibat COVID-19.

7 daripada 10 ketua isi rumah mendakwa mereka sukar untuk memenuhi perbelanjaan asas.

Sekitar 37 peratus tidak mampu untuk membeli makanan yang mencukupi, sementara 35 peratus tidak dapat membayar bil tepat pada waktunya.

Keadaan ini lebih buruk dalam kalangan ketua isi rumah wanita.
 
7 daripada 10 ketua isi rumah mendakwa mereka sukar untuk memenuhi perbelanjaan asas


Pendapatan dan simpanan yang berkurangan telah mengubah gaya pemakanan isi rumah.

Hampir 1 daripada 3 keluarga mengurangkan perbelanjaan untuk makanan protein antara lain kerana kurang mampu.


 1 daripada 3 keluarga mengurangkan perbelanjaan untuk makanan protein

Dalam pada itu, lebih kurang 1 daripada 2 keluarga yang pendapatannya di bawah RM4,000 sebulan tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Hanya 2 peratus  daripada mereka yang bekerja sendiri menerima Geran Khas Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

 1 daripada 2 keluarga yang pendapatannya di bawah RM4,000 sebulan tidak menerima BSH


Hanya 14 peratus ketua isi rumah merasakan status kewangan mereka akan lebih baik dalam tempoh 6 bulan akan datang.


14 peratus ketua isi rumah rasa kewangan lebih baik dalam enam bulan lagi


Latar Belakang Kajian

Kajian pengumpulan data melibatkan 61,173 isi rumah di flat kos rendah melibatkan 500 ketua keluarga di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur dengan margin ralat 4.36% pada 95% tahap keyakinan.

Ia melibatkan PPR Intan Baiduri, PPR Taman Wahyu, PPR Beringin, PPR Kg Baru Air Panas, PPR Seri Alam, PPR Pantai, PPR Pantai Ria, PPR Kg Muhibbah, PPR Intan Baiduri, PA Setapak Jaya, PPR Seri Semarak, PPR Desa Rajang, PPR Seri Sabah, Flat Seri Johor, PPR Seri Kota dan PPR Desa Tun Razak.

Pengumpulan data dilakukan melalui temubual telefon dengan Ketua Isi Rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak di bawah 18 tahun bermula 1 September hingga 7 September 2020.

Pada Mei 2020, UNICEF dan UNFPA bersama-sama memulakan kajian untuk meneroka kesan krisis COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.

Laporan ini adalah yang kedua dalam siri laporan di bawah projek kajian Keluarga di Pinggiran.

Ia menghuraikan keadaan sosioekonomi 500 buah keluarga yang mempunyai anak di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur semenjak berakhirnya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mei 2020 yang lalu.

Laporan ini memberikan pemahaman yang kritikal kepada orang ramai dan pembentuk dasar ketika Malaysia cuba “bangkit semula dengan lebih baik”.

Laporan ini bertujuan membantu usaha Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung COVID-19 kepada kumpulan yang berisiko melalui kajian saintifik yang berkualiti untuk pemegang taruh membuat dasar jangka sederhana, pendek dan panjang. Keluarga di Pinggiran akan diteliti dalam tempoh sekurang-kurangnya 9 bulan bermula pada Mei 2020 sehingga awal 2021.

Sepanjang tempoh ini, data kualitatif dan kuantitatif akan dikumpulkan dalam empat pusingan.

Data yang terkumpul akan membantu kajian ini meneliti kesan sosioekonomi jangka pendek dan sederhana akibat COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dari keluarga bandar yang berpendapatan rendah.

Ini termasuk bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada serta yang baharu diperkenalkan dan bantuan khidmat sosial sejak pelaksanaan PKP.

Kajian ini akan diperkemaskan dengan bukti-bukti baharu serta menyelongkar isu-isu khusus dengan lebih mendalam dari masa ke masa.

Laporan pertama yang dilancarkan pada September 2020 telah menganalisis kesan langsung COVID-19 ke atas sosioekonomi golongan tersebut, dengan tumpuan pada kesesuaian, kecukupan, dan ketersediaan dasar utama untuk menangani COVID-19 serta khidmat sosial kritikal yang lain untuk kumpulan yang berisiko.

Laporan kedua ini adalah susulan daripada laporan pertama, yang kali ini menyemak perubahan penting dalam hidup mereka selepas pelbagaj sekatan di bawah PKP dilonggarkan, terutamanya kesan ekonomi dan emosi akibat COVID-19.

Laporan ini memberi tumpuan yang lebih terhadap kesan pandemik kepada kanak-kanak, ibu tunggal dan orang kurang upaya.