WASHINGTON: Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung pembunuhan kanak-kanak dalam serangan Israel di Lubnan baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu.

"Saya amat bimbang dengan situasi kemanusiaan di Lubnan yang semakin merosot. Sepanjang minggu lepas, sekurang-kurangnya 80 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan, manakala ratusan lagi cedera," kata Russell di X.

Memetik laporan kerajaan, beliau berkata, bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan itu meningkat kepada lebih satu juta, termasuk lebih 300,000 kanak-kanak.

"Ribuan kanak-kanak dan keluarga kini tinggal di jalanan atau di tempat perlindungan; ramai yang meninggalkan rumah mereka tanpa bekalan dan barangan penting. Keadaan kemanusiaan semakin buruk setiap jam," kata Russell.

Menekankan bahawa UNICEF dan rakan kongsinya berada di lapangan di Lubnan untuk membantu kanak-kanak dan keluarga dengan sokongan penting, beliau berkata, pasukan itu sedang menyalurkan air minuman, bekalan perubatan, tilam dan selimut serta kit kebersihan dan bayi.

"Kami menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pemakanan, perlindungan kanak-kanak, serta sokongan psikososial untuk kanak-kanak.

"Tetapi ketika keganasan meningkat, begitu juga dengan keperluan kemanusiaan. Sebarang serangan darat atau peningkatan lebih lanjut di Lubnan akan memburukkan lagi keadaan bencana bagi kanak-kanak. Keputusan sedemikian mesti dielakkan dengan apa cara sekalipun," katanya, menyeru supaya serangan dihentikan dengan segera.

Menurut Russell, UNICEF mengulangi seruannya agar semua pihak melindungi kanak-kanak dan infrastruktur awam serta memastikan pekerja kemanusiaan boleh sampai kepada mereka yang memerlukan dengan selamat, selaras dengan kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Tentera Israel pada Isnin mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan zon tentera tertutup berhampiran sempadan dengan Lubnan sebagai persediaan untuk serangan darat yang dijangka ke atas selatan Lubnan.

Sejak 23 September, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap apa yang dikatakan sebagai sasaran Hezbollah di seluruh Lubnan, membunuh lebih 960 orang dan mencederakan lebih 2,770 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Beberapa pemimpin Hezbollah terbunuh dalam serangan itu, termasuk ketua kumpulan berkenaan, Hassan Nasrallah. - BERNAMA