Kenyataan UNICEF ini dikeluarkan ketika konflik terus berlaku di pelbagai lokasi, termasuk Gaza, Sudan dan Ukraine.
Perang dahsyat Israel ke atas Gaza, sekurang-kurangnya 17,492 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam hampir 15 bulan konflik yang telah meratakan sebahagian besar wilayah itu menjadi runtuhan.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell sifatkan tahun 2024 adalah salah satu tahun terburuk dalam sejarah UNICEF bagi kanak-kanak dalam konflik - baik dari segi jumlah kanak-kanak yang terjejas mahupun tahap kesan terhadap kehidupan mereka.
Menurut Russell, kanak-kanak yang membesar di zon konflik jauh lebih berkemungkinan tidak bersekolah, kekurangan zat makanan atau dipaksa meninggalkan rumah mereka berbanding kanak-kanak yang tinggal di kawasan tanpa konflik.
Jelas UNICEF, peratusan kanak-kanak yang tinggal di kawasan konflik telah meningkat dua kali ganda - daripada kira-kira 10 peratus pada 1990-an kepada hampir 19 peratus hari ini.
Laporan itu juga menyebut bahawa 47.2 juta kanak-kanak telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik dan keganasan menjelang akhir tahun 2023.
Trend bagi tahun 2024 menunjukkan peningkatan lanjut dalam jumlah pelarian disebabkan peningkatan pelbagai konflik, termasuk di Haiti, Lebanon, Myanmar, wilayah Palestin dan Sudan.
Sementara itu, pakar komunikasi UNICEF, Rosalia Bollen minggu lalu dalam satu taklimat media membeirtahu, di Gaza, perang yang sedang berlaku adalah satu “mimpi ngeri” bagi kanak-kanak.
Kira-kira 96 peratus wanita dan kanak-kanak di Gaza tidak dapat memenuhi keperluan pemakanan asas mereka, katanya, sambil melahirkan rasa kecewa terhadap kekurangan bantuan yang mampu sampai kepada kanak-kanak di wilayah itu.
Bollen berkata ramai kanak-kanak di wilayah terkepung itu tidak mempunyai pakaian musim sejuk, terpaksa mencari makanan dalam timbunan sampah dan dibelenggu pelbagai penyakit.
Beliau menggesa penggunaan pengaruh politik dan diplomatik untuk mendesak pemindahan kanak-kanak yang cedera dan ibu bapa mereka keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di Baitulmaqdis Timur atau tempat lain.