ZAMAN dahulu, perbezaan darjat antara mereka yang berdarah diraja dan orang biasa sering kali menjadi isu sehinggakan perkahwinan antara kedua golongan ini dianggap sesuatu yang luar kebiasaan.

Namun sejak beberapa dekad ini, ia bukan lagi sesuatu yang pelik apabila putera dan puteri memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan golongan rakyat biasa, malah penyatuan mereka juga mendapat restu semua pihak.

Paling terbaharu adalah pelakon Amerika Syarikat, Meghan Markle yang bertukar gelaran pada Sabtu apabila dia mengahwini Putera Harry.

BACA: Putera Harry, Meghan Markle langsungkan perkahwinan dalam majlis gilang-gemilang

Majlis perkahwinan diraja anak bongsu kepada mendiang Puteri Diana dan Putera Charles itu berlangsung dengan sempurna dan dipancarkan di seluruh dunia. - Foto Reuters

Disenaraikan di bawah adalah cerita ala fairytale tujuh individu yang bertemu cinta dengan putera idaman.

GRACE KELLY (Monaco)

Kelly mengorbankan kerjayanya yang bersinar di Hollywood selepas berkahwin dengan Putera Rainier III.
Disifatkan antara wanita tercantik di zamannya, tidak hairanlah pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi ke-27, Grace Kelly berjaya memikat hati Putera Rainier III dari Monaco. Pasangan itu bertemu ketika Kelly dijemput ke Istana Monaco untuk satu sesi fotografi pada Mei 1955.

Mereka berkahwin pada 19 April 1956. Perkahwinan yang disaksikan secara langsung oleh lebih 30 juta penonton itu juga menandakan berakhirnya kerjaya Kelly di Hollywood, pada usianya baru mencecah 26 tahun. Pengarah terkemuka, Alfred Hitchcock pernah mengajak Kelly untuk menyertai projek filemnya pada 1962, namun ajakan itu ditolak.

Kelly meninggal dunia pada 14 Sept 1982 akibat kemalangan jalan raya. Kelly dilaporkan diserang strok ketika memandu yang mengakibatkan keretanya terjunam ke cerun sedalam 37 meter.

Hasil perkahwinan dengan Rainier, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Puteri Caroline, Putera Albert dan Puteri Stephanie.

DIANA SPENCER (Britain)

Diana dan Charls berkahwin pada 29 Julai 1981, dalam satu upacara perkahwinan yang disaksikan secara langsung oleh lebih 750 juta penonton.
Lady Diana pertama kali bertemu dengan Putera Charles ketika baru berusia 16 tahun. Laporan mengatakan Charles terlebih dahulu mengenali kakak Diana, Sarah.

Empat tahun selepas itu, Charles menjemput Diana ke istana untuk bertemu Ratu Elizabeth II. Penerimaan baik oleh Ratu meyakinkan Charles untuk melamar Diana yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

Mereka berkahwin pada 29 Julai 1981, dalam satu upacara perkahwinan yang disaksikan secara langsung oleh lebih 750 juta penonton. Dikurniakan dua putera, William dan Harry, Diana dan Charles bagaimanapun bercerai pada Ogos 1996.

Setahun selepas itu, pada 31 Ogos 1997, Diana meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Paris. Kematiannya diratapi seluruh dunia, dengan majlis pengebumiannya disiarkan secara langsung dan disaksikan lebih 30 juta penonton di United Kingdom sahaja.

RANIA AL ABDULLAH (Jordan)

Permaisuri Rania bersama suaminya, Raja Abdullah (kanan).
Permaisuri Jordan ini bertemu Raja Abdullah dalam satu acara makan malam pada tahun 1992. Berketurunan Palestin, beliau bertugas sebagai pegawai pemasaran di Citibank dan Apple Inc sebelum mendirikan rumah tangga dengan Raja Abdullah.

Berkahwin pada 1993, pasangan diraja ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Putera Hussein, Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.

Menariknya, tidak seperti anggota keluarga diraja yang lain, Rania aktif di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dan menggunakan platform itu untuk mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.

CATHERINE MIDDLETON (Britain)

Kate Middleton bersama Putera William pada hari perkahwinan mereka.
Bertemu ketika sama-sama menuntut di Universiti St. Andrews pada tahun 2001, hubungan Middleton dan Putera William berlangsung hampir sedekad sebelum kedua-duanya akhirnya berkahwin pada 29 April 2011.

Namun mungkin juga ramai yang tidak tahu, mereka pernah mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka pada April 2007. Hubungan pasangan ini kemudiannya bertaut kembali selepas Middleton menghadiri konsert memperingati Puteri Diana pada Julai 2007.

Middleton, pada hujung April lalu, baru sahaja melahirkan anak ketiga mereka, Putera Louis, yang kini merupakan salah seorang pewaris takhta Britain, bersama abang dan kakaknya, Putera George dan Puteri Charlotte.

MARY DONALDSON (Denmark)

Donaldson dan Frederik menjalin cinta jarak jauh selama hampir dua tahun sebelum berkahwin.
Bertemu ketika Putera Frederik menghadiri pembukaan Sukan Olimpik di Sydney, Donaldson, yang merupakan warga Australia, mengakui langsung tidak mengetahui Frederik adalah Putera Mahkota Denmark.

Menjalinkan hubungan secara rahsia, kisah cinta mereka mula mendapat perhatian selepas Ratu Denmark, Queen Margrethe II memberi restu dan membenarkan mereka berkahwin pada 2003.

Donaldson mengahwini Frederik pada 14 Mei 2004 dan dikurniakan empat anak iaitu Putera Christian, Puteri Isabella, Putera Vincent dan Puteri Josephine.

LETIZIA ORTIZ (Sepanyol)

Raja Felipe dilaporkan merupakan peminat setia Ortiz sejak sebelum mereka menjalinkan hubungan.
Sebelum mengahwini Raja Felipe, bekas wartawan dan pembaca berita ini pernah bergelar isteri kepada seorang guru sekolah menengah. Namun perkahwinan itu hanya bertahan setahun dan mereka bercerai pada 1999.

Tidak banyak yang diketahui tentang kisah cinta mereka, namun laporan beberapa media Sepanyol mengatakan Felipe merupakan peminat Ortiz dan hubungan mereka bermula selepas Felipe meminta orang kanannya menghubungi Ortiz dan mengaturkan satu temujanji.

Berkahwin pada 22 Mei 2004, mereka dikurniakan dua puteri, Leonor dan Sofia.

JETSUN PEMA (Bhutan)

Perkahwinan dengan Raja Bhutan mengangkat Pema sebagai permaisuri termuda di dunia pada usia 21 tahun.
Kisah cinta pasangan diraja ini agak 'comel' untuk dibaca. Pema bertemu Putera Jigme Wangchuck ketika dia baru berusia 7 tahun, dan putera itu pula 17 tahun. Pema yang tidak mengetahui siapa Wangchuck, dilaporkan berkata kepada putera itu, "Saya ingin mengahwini awak kerana saya suka awak".

Siapa sangka, ucapan innocent itu berbekas di hati Wangchuck yang diangkat sebagai Raja menggantikan bapanya pada 2008. Bertemu kembali ketika Pema menuntut di universiti, perkahwinan mereka pada 13 Oktober 2011 menjadikan Pema yang ketika itu berusia 21 tahun, sebagai permaisuri termuda di dunia.

Pada 15 Februari 2016, Pema melahirkan putera sulung mereka, Putera Mahkota Jigme Namgyel Wangchuck, yang lebih dikenali sebagai The Gyalsey.