KUALA LANGAT: Bidikan lensa kamera seorang jurugambar profesional merakam keindahan panorama di tengah-tengah hutan bakau yang berusia ratusan tahun, memecah keheningan suasana petang Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang.
Berlatar belakangkan kedamaian Sungai Langat yang mengalir tenang di hujung taman, disusuli bunyi riuh kicauan pelbagai spesies burung berterbangan dan sesekali hinggap di dahan pokok bakau, pastinya menambah keasyikan kepada peminat burung serta pencinta alam.
Di satu sudut, kelihatan sekumpulan pengunjung pelbagai peringkat umur melakukan aktiviti jungle trekking, merentasi titian yang diperbuat daripada susunan kayu Resak, sesekali berhenti melihat tumbuh-tumbuhan yang hidup subur melata di kawasan paya ini.
Maka tidak hairanlah, faktor alam semula jadi menjadikan taman rekreasi ini tumpuan utama untuk mereka yang ingin menghayati kepermaian hutan bakau juga golongan anak muda yang gemarkan 'berootd' (memperaga dan merakam pakaian yang dikenakan pada hari itu/Outfit of The Day).
"Memang begini keadaannya setiap hujung minggu. Bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk kampung Sijangkang beriadah tetapi juga tumpuan orang luar yang gemarkan aktiviti lasak termasuk jungle trekking . Tidak kurang juga pasangan pengantin yang datang untuk bergambar," Ketua Komuniti Kampung (Kg) Sijangkang, Mohd Suhaimi Sanusi memberitahu Bernama.
Komuniti Kg Sijangkang ini secara asasnya ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan 15 orang penduduk kampung ini dengan diketuai Mohd Suhaimi yang bekerja sebagai peniaga kecil, bagi memelihara kebersihan kawasan sekitar kampung termasuk kawasan hutan bakau.
Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang ini terletak kira-kira dua kilometer (km) di hujung pinggir Kg Sijangkang, Telok Panglima Garang dan lebih kurang 12 km dari arah Klang ke Banting di Kuala Langat dan mula dibuka kepada umum sejak penghujung tahun 2015.
Tarikan taman ini bukan setakat kepada keunikan pelbagai pokok bakau yang melebihi 15 jenis mahupun khazanah flora dan fauna tetapi juga titian yang diperbuat daripada susunan kayu sepanjang 1.8 kilometer yang memudahkan pengunjung menerokai keindahan panorama hutan bakau tanpa kaki dicemari selut.
DARIPADA 'WASTELAND' KE 'WETLAND'
Melihat kecantikan alam di sini, mungkin sukar untuk dipercayai bahawa kawasan ini sebelumnya adalah hutan bakau terbiar yang langsung tidak dipedulikan. Malah, dengan kedudukannya yang terletak di hujung kampung menyebabkan banyak pihak mengambil kesempatan menjadikannya tempat pembuangan sampah haram.
Lokasi kawasan berkeluasan 24 hektar yag terletak di bahagian barat daya Selangor yang sunyi tanpa sebarang penempatan dan hanya sesekali dilalui pekerja kebun kelapa sawit berdekatan serta mereka yang ingin memancing di muara Sungai Langat, sekali gus memudahkan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati mereka.
Isu sampah ini semakin memburuk dan serius sejak awal tahun 2015 apabila kawasan ini bukan sahaja menjadi tempat pembuangan sisa penduduk sekitar Sijangkang tetapi juga sisa industri pembinaan.
"Di kampung ini, tidak ada sistem pengurusan buang sampah seperti di bandar, jadi kebanyakannya sama ada ditanam di sekitar kawasan rumah atau dibakar selain ada juga yang dibuang di sini sebab kawasannya terletak di hujung kampung.
"Timbunan sampah tidaklah setinggi seperti di tapak pelupusan kerana ada orang kampung yang akan membakarnya apabila nampak semakin meninggi. Cuma, situasinya tetap kotor dan busuk sebab sisa berselerakan khususnya apabila anjing, kucing, kera mencari makanan," katanya menambah, beberapa kawasan longgokan sampah boleh dilihat sepanjang enam km ke hutan bakau berkenaan
Menurut Mohd Suhaimi, keadaan itu turut membahayakan kanak-kanak dan warga emas kerana dipenuhi ratusan sisa paku yang bertaburan, kayu pembinaan serta batu-bata, di samping risiko tinggi diserang anjing liar.
Beliau dan beberapa penduduk kampung beberapa kali menyuarakan permasalahan itu kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), memohon supaya diadakan sistem pengurusan sampah yang lestari selain membangkitkan isu sampah haram pembinaan.
Hasil aduan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan proses pembersihan beberapa kali namun pembuangan sampah haram masih lagi berlaku disebabkan tiadanya pemantauan.
Melihat isu yang tidak berkesudahan ini membuatkan Mohd Suhaimi yang sudah tinggal di kampung itu lebih 35 tahun dan beberapa penduduk nekad menggerakkan komuniti kampung untuk menangani masalah pembuangan sampah haram selain isu penebangan pokok bakau secara haram yang semakin berleluasa.
BUKAN MUDAH
"Apabila sampah sudah terlalu banyak, tidak terkawal dan tidak dilupuskan dengan baik, ada yang dibawa angin tersangkut di akar pokok bakau bahkan ada juga yang sudah sampai ke Sungai Langat sehingga menjejaskan kehidupan sumber makanan di sungai.
"Tidak mahu keadaan semakin teruk, kami mula menggerakkan satu komuniti yang dianggotai pada awalnya hanya 15 sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan berkenaan sekitar bulan Ogos, 2015. Kerjasama rapat penduduk kampung dan PBT berjaya mencipta perubahan besar di situ," katanya.
Bagaimanapun, bapa kepada enam anak ini mengakui usaha memajukan kawasan berkenaan untuk dijadikan sebagai ekopelancongan tidak melalui jalan mudah kerana pelbagai rintangan termasuklah pandangan sinikal penduduk kampung serta kesukaran mendapatkan kerjasama mereka untuk turut sama membersihkan lokasi berkenaan.
"Biasalah, ada yang pandang sinis dengan usaha ini apabila ada mempersoalkan mengapa asyik ke hujung kampung sahaja kerana kami ini dikenali sebagai orang yang 'nakal' pada waktu muda selain pendidikan tidak tinggi.
"Namun, syukur kami mendapat kesedaran untuk memberikan sumbangan dengan cara begini kepada penduduk kampung melalui penjagaan alam sekitar bagi membolehkan mereka bukan sahaja dapat menikmati kehidupan sihat dengan melakukan aktiviti riadah tetapi juga meningkatkan sumber ekonomi," katanya.
Usaha yang dilakukan pada awalnya untuk menangani masalah sampah haram akhirnya membuka pintu rezeki kepada penduduk kampung apabila hutan bakau itu kini menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara.
DIKENALI REKREASI PENDIDIKAN
Sejak dibuka pada akhir tahun tahun 2015, taman rekreasi ini mula menjadi tumpuan syarikat korporat khususnya pada hari minggu untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), antaranya menanam pokok bakau selain sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), biasanya pada hari bekerja untuk aktiviti pendidikan hutan bakau.
Malah, ia juga turut menjadi pilihan beberapa IPT tempatan dan luar negara untuk melakukan kajian hutan bakau dan perkembangan positif ini menyumbang kepada impak ekonomi penduduk sekitar sehingga menarik mereka untuk turut serta menjadi sukarelawan komuniti Kg Sijangkang.
Mahu dikenali sebagai taman rekreasi pendidikan (edu-ekopelancongan), Komuniti Kg Sijangkang turut bekerjasama dengan beberapa IPT tempatan untuk menambah baik infrastruktur dan pengetahuan berkaitan hutan bakau yang boleh digunakan semasa aktiviti pendidikan bersama pengunjung.
"Kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mereka juga mempunyai beberapa makmal di sini.
"Misalnya, kami bekerjasama dengan UPM dan Jabatan Perhutanan untuk membangunkan kod bar yang diletakkan pada pokok bakau bagi membolehkan pengunjung mengenal jenis pepohon hijau di sini dengan hanya mengimbas sahaja kod bar tersebut menggunakan telefon pintar mereka," katanya.
Perkembangan positif ini menarik minat lebih ramai penduduk kampung untuk turut serta dalam Komuniti Kg Sijangkang. Daripada 15 sukarelawan, kini bertambah kepada 40 orang, meliputi pelbagai lapisan peringkat umur termasuklah lepasan sekolah dan IPT.
Mereka bukan sahaja melakukan kerja pembersihan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi berlakunya sampah haram tetapi ada juga yang menjadi pemandu pelancong selain memberi ceramah pendidikan kepentingan penjagaan hutan bakau kepada pengunjung.
Bagi menambahkan lagi tarikan di taman rekreasi berkenaan, beberapa kemudahan dan aktiviti disediakan termasuklah sukan desa, tapak perkhemahan, mencari siput di hutan bakau, memancing (atas permintaan) selain daripada jungle trekking dan bergambar yang boleh dilakukan pengunjung.
"Untuk sampai ke tahap ini, banyak pihak yang membantu sama ada MPKL, sumbangan syarikat korporat dan IPT bagi tujuan pemuliharaan semula ekosistem di sini serta mencantikkan kawasan hutan bakau ini sehingga menjadi taman rekreasi pendidikan untuk semua
"MPKL banyak membantu kami misalnya, bimbingan untuk menjadikan kawasan ini sebagai edu-ekopelancongan termasuklah mempromosikan tempat ini kepada agensi pelancongan untuk mereka membawa pelancong ke sini," kata Mohd Suhaimi.
PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA DAN TEMPATAN
Tidak sia-sia penat jerih hampir tujuh tahun berjaya mengubah kawasan yang sebelumnya 'kotor dan busuk' kini menjadi taman rekreasi hutan bakau yang memberi manfaat kepada semua termasuklah kelestarian alam dan meraih pelbagai pengiktirafan sama ada kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pernah merangkul anugerah Friends of River Negeri Selangor daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Green Initiative Awards: Sijangkang Mangrove Edu-Recreation Park - From Wasteland to Wanderland" daripada MPKL sebagai pemenang platinum dalam kategori taman awam luaran serta pengiktirafan antarabangsa, Japan-Asean Integration Fund (JAIF) dan Institute of Global Environment Strategies (IGES).
"Biarpun bukan dalam bentuk wang ringgit tetapi anugerah ini sangat dihargai kerana memotivasi pelbagai pihak untuk membantu kami baik dengan tenaga, masa, atau sumbangan kewangan," katanya.
Namun, kejayaan sebenar menurut Mohd Suhaimi terletak kepada semangat gotong-royong dan azam penduduk tempatan mahupun pengunjung yang turut sama menjaga alam sekitar di situ.
Justeru, beliau berharap pihak kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada usaha komuniti setempat dalam menjaga hutan bakau bukan sahaja di Sijangkang tetapi juga di kawasan lain misalnya, peruntukan kewangan.
"Apabila kami memberi ceramah kepada orang luar yang kawasan ini sebelumnya merupakan tapak pelupusan sampah haram, ramai tidak percaya. Tetapi, kisah kejayaan ini adalah bukti apabila komuniti bersatu, masalah setempat dapat diselesaikan dengan lebih cepat," katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan dan Felo Penyelidik, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM Dr A. Aldrie Amir berkata, hutan bakau sememangnya penting bagi membolehkan ekosistem habitat semula jadi sumber makanan seperti ikan, udang dan ketam terus membiak.
Untuk itu, beliau melihat usaha Komuniti Kg Sijangkang sebagai langkah wajar yang boleh diteladani dan kerajaan boleh mengalakkannya dengan melibatkan usaha pemeliharan dan perlindungan yang dilakukan Jabatan Perhutanan bersama penduduk kampung.
"Biasanya, hutan bakau diwartakan sebagai hutan simpan atau hutan yang dilindungi dan Jabatan Perhutanan yang mengawasinya. Namun, komuniti tempatan tidak dilibatkan secara langsung dalam pelaksanaannya sedangkan mereka boleh membantu menjadi 'mata dan telinga' bagi pihak kerajaan.
"Dalam kes di Kg Sijangkang, yang sebelum ini menjadi tempat pembuangan sampah haram kerana pengurusan sampah tidak dijalankan dengan baik sehingga dianggap sebagai tanah wasteland dan bukannya wetland tetapi usaha penduduk kampung berjaya mengubahnya," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Sep 25 2023
Sejak dibuka pada akhir tahun tahun 2015, taman rekreasi ini mula menjadi tumpuan syarikat korporat khususnya pada hari minggu untuk melaksanakan program CSR. - Foto Facebook/Sijangkang Teluk Panglima Garang
Mesir, Qatar usahakan perjanjian gencatan senjata Gaza
Pengeboman dan serangan darat Israel di Gaza telah membunuh lebih daripada 45,000 rakyat Palestin.
AWANI Ringkas: 12 kontena bantuan Mapim berjaya dibawa masuk ke Gaza
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
#AWANIRingkas 26 Disember 2024 | 9 AM
Berikut merupakan rangkuman berita setakat 9 pagi, 26 Disember 2024
1️⃣ Bincang peranan Thaksin
2️⃣ Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terlibat
3️⃣ 12 kontena bantuan Mapim berjaya dibawa masuk ke Gaza
#awaniringkas
1️⃣ Bincang peranan Thaksin
2️⃣ Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terlibat
3️⃣ 12 kontena bantuan Mapim berjaya dibawa masuk ke Gaza
#awaniringkas
20 tahun tragedi 'ombak besar' kekal dalam ingatan penduduk Pulau Pinang
26 Disember 2004, tarikh keramat yang tidak pernah luput dari ingatan penduduk Pulau Pinang, khususnya di kawasan Pulau Betong.
Serangan udara Pakistan di Afghanistan ragut 46 nyawa
Serangan itu turut mencederakan enam individu lain di empat lokasi berbeza di Afghanistan.
AWANI Pagi: Menjual Kuantan 188 untuk pembangunan pantai timur
Ikuti diskusi siaran luar Awani Pagi dari menara Kuantan 188 bersama Khalisa Azman, Pengurus Besar Kuantan 188 membincangkan mengenai perancangan dan inisiatif tahun depan untuk "menjual" Kuantan 188 bagi pembangunan di kawasan pantai timur.
Penumpang Azerbaijan Airlines pakai topeng oksigen sebelum terhempas
Penumpang pesawat Embraer EMBR3 Azerbaijan Airlines dilihat memakai topeng oksigen kabin sebelum pesawat itu terhempas di lapangan terbang Aktau, Kazakhstan pada Rabu.
Rusia kerah pesawat khas, bawa pulang warganya yang selamat
Pesawat IL-76 tersebut membawa pasukan doktor dan pakar psikologi, selain peralatan perubatan penting.
Gereja tertua Syria kembali raikan Krismas
Penganut Kristian di Syria kembali meraikan perayaan hari Krismas di Gereja Lady of Damascus, Damsyik.
Lelaki cuba terjun dari tingkat 9 berjaya diselamatkan
Polis berjaya menyelamatakan lelaki berusia 48 tahun yang cuba membunuh diri dengan terjun dari beranda tingkat sembilan sebuah kondominium di Bandar Tun Hussein Onn,
Paya Indah Wetlands diberi nafas baharu, mantapkan ekopelancongan di Selangor
Perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa hingga 31 Julai 2037 dengan DWSB mengambil alih aspek operasi dan pengurusan PIW.
Desaru bakal jadi syurga ekopelancongan baharu, tawar pengalaman pelancongan unik
Desaru bakal menjadi pusat tarikan utama bagi pelancongan berasaskan alam semula jadi dengan perasmian pembangunan Arubay Eco Resort yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.
Nenggiri miliki potensi jadi destinasi ekopelancongan
Pemandangan suasana pergunungan dalam kawasan Nenggiri yang dihiasi landskap menarik sering mengundang kunjungan pelawat untuk menikmati keindahannya, kata Malim Gunung Mohamad Saifful Rizal Jusoh.
Lanno Valley diarah tutup bagi tujuan keselamatan - MDBG
Landskap kawasan dikelilingi aktiviti kuari yang aktif dalam radius kurang dari 600 meter itu memberi risiko keselamatan kepada pengunjung.
Tiga jajahan di Kelantan berpotensi jadi tarikan ekopelancongan
Kebanyakan lokasi yang terlibat adalah di kawasan pedalaman kerana mempunyai sumber alam semula jadi yang indah.
Dahulu 'busuk dan kotor', kini Sijangkang jadi lokasi ekopelancongan
Komuniti Kg Sijangkang ini secara asasnya ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan 15 orang penduduk kampung.
Ekopelancongan: Usaha Tok Batin Kampung Beswok buahkan hasil
Permintaan untuk menyewa chalet yang diusahakan bersama penduduk kampung yang terletak sekitar 65 kilometer dari pekan Sungai Siput ini kian hari kian meningkat.
Perlis berpotensi jadi tarikan utama ekopelancongan - Pemangku Raja Perlis
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Perlis berpotensi menjadi antara tarikan ekopelancongan utama pada masa hadapan.
Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia 2023 teroka produk pelancongan Perak
Pengamal media dibawa menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Perak 2023 untuk meneroka produk-produk ekopelancongan di sekitar Taiping, Kuala Kangsar dan Kerian.
Jejantas Rimba FRIM: Produk ekopelancongan, promosi khazanah negara - Nik Nazmi
FRIM telah menerima sebanyak 1.145 juta pengunjung bagi tempoh 2018 hingga Mac 2023, yang meliputi pengunjung awam, lawatan secara rasmi dan pas riadah.