SEJAK enam bulan lalu, rutin harian Tok Batin Mohd Daud Anjang, 57, ketua penduduk Orang Asli suku kaum Temiar Kampung Beswok, Pos Yum, semakin bertambah.
Jika sebelum ini beliau keluar masuk hutan, mencari hasil yang boleh menampung keperluan keluarganya, kini ada satu lagi tugas yang perlu digalas iaitu menguruskan bisnes ekopelancongan yang baharu diperkenalkan di kampung berkenaan.
Permintaan untuk menyewa chalet yang diusahakan bersama penduduk kampung yang terletak sekitar 65 kilometer dari pekan Sungai Siput ini kian hari kian meningkat.
"Tempahan (penginapan chalet) menjadi sumber rezeki baharu kami di sini sejak chalet ini dibuka kepada orang ramai pada tahun 2019. Permintaan bertambah dua kali ganda ketika musim cuti sekolah, musim perayaan, hujung minggu dan cuti umum seperti Hari Kebangsaan," kata Mohd Daud yang dilantik menjadi Tok Batin Kampung Beswok sejak tahun 2003 kepada Bernama.
Permintaan yang semakin memberangsangkan ini membuatkan Kampung Beswok semakin dikenali dalam kalangan masyarakat setempat dan luar yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi dan mengenali dengan lebih dekat kehidupan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar.
Antara tarikan Kampung Beswok adalah keindahan sungai Yum yang mengalir jernih, dilatari pelbagai batu sungai bersaiz besar, kedinginan air terjun Telei dan landskap tumbuhan serta pokok hutan menjadikan lokasi ini begitu sesuai bagi mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota.
"Sejak kebelakangan ini, panggilan telefon dan mesej mereka yang ingin membuat tempahan lebih kerap sampai, ada yang tanya pukul 12 tengah malam kerana nak ambil peluang bercuti masa cuti sekolah dan Hari Kebangsaan. Tetapi, ramai kecewa sebab dah penuh sejak akhir Jun lagi, ramai tempah awal," katanya menambah untuk tempahan, orang ramai boleh menghantar mesej menerusi WhatsApp atau teks kepada nombor telefon beliau nombor, 016-4747882.
Terletak kira-kira 90 kilometer dari bandaraya Ipoh dan boleh diakses dengan jalan bertar dan tidak terhad kepada pacuan empat roda, kemudahan perhubungan yang siap pada tahun 2019 itu juga adalah antara faktor yang membolehkan industri ekopelancongan di Kampung Beswok semakin berkembang.
Daud bagaimanapun mengakui, usaha ke arah meningkatkan taraf ekonomi penduduk menerusi industri ekopelancongan bukanlah mudah apatah lagi untuk mengubah mentaliti mereka yang selama ini bergantung penuh kepada hasil hutan dan bercucuk tanam.
"Kesan positif mula kelihatan apabila penduduk kampung berganding baru memajukan ekopelancongan di sini. Mereka gembira dengan hasil titik peluh membangunkan kawasan ini, produk kraf dapat dijual biarpun pada awalnya ramai yang menentang projek itu," katanya.
SUKARNYA UBAH MENTALITI
Mengimbau kembali detik awal pelaksanaannya, Mohd Daud berkata, tentangan yang diterima daripada penduduk kampong agak hebat kerana kebanyakannya sinikal dengan projek yang dilihat tidak akan memberi manfaat kepada mereka.
Namun, itu tidak mematahkan semangat beliau untuk berusaha mengubah mentaliti masyarakat kampungnya supaya tidak hanya bergantung kepada hasil hutan sebagai sumber rezeki utama seperti yang diamalkan nenek moyang terdahulu.
Beliau melihat perubahan ini amat penting memandangkan hasil hutan yang diperolehi tidak lagi seperti dahulu akibat daripada penerokaan dan pembukaan hutan selain tidak boleh lagi membawa keluar hasil hutan untuk tujuan komersial.
"Mesti kena cari sumber rezeki lain kalau tidak susahlah hidup tetapi ramai tidak percaya projek ini akan berjaya kerana mereka beranggapan tidak ada siapa yang akan datang bercuti di situ kerana kawasan pedalaman dan tiada apa yang menarik," katanya sambil menambah, terdapat 306 penduduk di Kampung Beswok.
Walaupun penduduk kampung menanam pokok getah dan koko untuk sumber alternatif, namun pendapatan tidak memberangsangkan kerana tidak dapat mengusahakannya secara komersial berikutan tanah berkenaan masih belum lagi diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli.
Biarpun mendapat tentangan hebat dan tidak mendapat kerjasama daripada penduduk, Mohd Daud tetap meneruskan projek ekopelancongan itu bersama beberapa orang ahli keluarga dan saudaranya dengan membina dahulu tiga buah chalet di tepi sungai Yum pada tahun 2019.
Idea dan inspirasinya adalah berasaskan kejayaan masyarakat Orang Asli di Kuala Mu, Pos Yum yang terletak kira-kira empat kilometer daripada Kampung Beswok dan sewaktu melawat kawannya di sana, Mohd Daud yakin idea yang sama boleh dilaksanakan di kampungnya.
Pelbagai usaha dilakukannya dan walaupun chaletnya tidak menerima sebarang tempahan lebih daripada tiga bulan, itu tidak mematahkan semangatnya sehinggalah berkat kesabaran serta kegigihannya membuahkan hasil apabila permintaan diterima luar jangkaan.
Tiga chalet tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang ada dan sambutan menggalakkan ini akhirnya membuka mata dan menarik minat masyarakat di situ untuk turut sama menjayakan ekopelancongan di situ.
Menariknya, mereka menggunakan bantuan kewangan kerajaan yang diterima untuk mengurangkan kos sara hidup sebagai modal untuk membina chalet dan inap desa, mencantikkan kawasan sekitar serta menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti tandas awam untuk pengunjung.
"Duit bantuan kerajaan yang kami terima, kami kumpul dan buat chalet. Daripada tiga chalet sahaja sekarang sudah ada 19 chalet, sebuah rumah inap desa. Kos membina sebuah chalet adalah RM4,000. Kos keseluruhannya adalah hampir RM50,000.
"Kita juga ada sediakan tapak untuk perkhemahan, pangkin serta pondok. Pendapatan ekopelancongan ini sangat membantu masyarakat di sini selain kami juga ada membuat tanaman koko, ternakan ikan, getah dan kraftangan yang dapat menambahkan lagi pakej tarikan ekopelancongan di sini," katanya.
TAMPIL KELAINAN
Biarpun begitu, sebagaimana industri ekonomi lain, ekopelancongan di Kampung Beswok turut terjejas apabila berlaku pandemik COVID-19 sehingga membuatkan kawasan chalet yang sebelum ini cantik akhirnya terbiar dan dipenuhi dengan semak samun.
Menurut Mohd Daud, ada beberapa penduduk yang putus harapan, kecewa dan marah kepadanya apabila duit yang mereka laburkan hanya dapat menghasilkan pendapatan untuk sementara sahaja.
"Sedih juga apabila usaha yang dilakukan akhirnya jadi begitu, tetapi, sebagai Tok Batin dan orang yang menggerakkan projek ini, saya tidak boleh cepat putus asa. Saya cuba pujuk mereka untuk bersabar dan sebab itu sebaik sahaja industri pelancongan dibuka semula, kami cepat-cepat bersihkan kawasan," katanya.
Selepas tiga tahun kawasan chalet itu terbiar, tiada sebarang tempahan diterima selama empat bulan sebaik ia dibuka semula pada Februari tahun 2022, sehingga masuk bulan Jun, selepas beberapa program dilaksanakan.
Malah, tempahan chalet semakin rancak apabila Mohd Daud dan penduduk kampung memanfaatkan rangkaian media sosial untuk mempromosikan perkampungan mereka sebagai destinasi percutian terbaik untuk keluarga.
Apatah lagi, dengan harganya yang berpatutan hanya RM70 semalam untuk satu chalet manakala RM100 untuk rumah inap desa yang dilengkapi tempat memasak, tandas, tilam, selimut dan bantal, menjadikan ekopelancongan Kampung Beswok ini adalah lokasi menarik dan sesuai untuk semua.
Bagi mereka yang sukakan cabaran dan gemarkan penginapan berlatar suasana alam, sebanyak 37 tapak perkhemahan turut disediakan dengan harga yang dikenakan mengikut saiz khemah bermula daripada RM25 sehingga RM40. Tandas awam yang mencukupi juga turut disediakan bagi mereka yang memilih perkhemahan.
Menariknya, mereka yang menginap di chalet tidak perlu berkongsi menggunakan tandas awam kerana sudah dilengkapi dengan tandas, menjadikannya antara tarikan utama ekopelancongan di sini, khususnya dalam kalangan mereka yang berkeluarga.
INISIATIF PENDAPATAN RAKYAT
"Berdasarkan pemerhatian di beberapa kawasan ekopelancongan sebegini seperti di Kuala Mu dan dua buah kampung di bawah Pos Yum seperti Kampung Pendeq dan Kampung Yum yang chaletnya tidak dilengkapi tandas dalam, agak menyukarkan pengunjung khususnya wanita dan mereka yang berumur.
"Tambahan pula, apabila terpaksa beratur panjang berkongsi menggunakan tandas awam dan faktor keselamatan sekiranya terpaksa pergi ke tandas pada waktu malam di kawasan hutan tebal ini. Dari situ, saya mendapat idea untuk membuat tandas di dalam chalet Kampung Beswok," katanya.
Berikutan permintaan yang sangat memberangsangkan sehingga ada yang menempah awal untuk percutian pada bulan Disember sempena cuti sekolah, pihaknya mengutarakan permohonan penambahan chalet ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Difahamkan, permohonan tersebut dikemukakan JAKOA kepada Kementerian Ekonomi di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk penambahan sebanyak 30 buah chalet bagi memenuhi permintaan yang tinggi ketika waktu puncak sekali gus dapat menambah pendapatan masyarakat Orang Asli di situ.
Menurut Mohd Daud yang juga Ikon Usahawan Orang Asli Peringkat Kebangsan itu, pihaknya menyedari akan kepentingan mempunyai hubungan baik dengan JAKOA dan sentiasa memastikan bekerjasama dengan agensi kerajaan itu apatah lagi tanah mereka masih lagi belum diwartakan.
"Kami merayu pihak kerajaan memandang serius kehidupan masyarakat Orang Asli khususnya di Kampung Beswok dan mengambil tindakan mewartakan tanah tersebut kerana untuk kami meluaskan ekonomi penduduk di sini amat penting status tanah itu diwartakan," katanya.
Bernama ketika mengajukan persoalan itu kepada JAKOA, pegawai JAKOA daerah Kuala Kangsar Muhamad, Hazwan Sabri berkata, pihaknya dalam proses memohon pewartaan untuk kawasan berkenaan tetapi akan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai pihak dan agak rumit.
Biarpun begitu, beliau berkata, kesungguhan masyarakat Orang Asli di situ dalam menambah pendapatan mendapat perhatian JAKOA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama membantu mereka untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi.
Ini memadangkan sebelum ini, agensi tersebut pernah mencadangkan kampung lain untuk mengusahakan ekonomi dengan bantuan yang diberikan, namun gagal kerana mereka tidak berminat dengan apa yang ditawarkan.
"Lain pula di Kampung Beswok kerana mereka ada kesungguhan, minat membangunkan chalet, penternakan ikan. Sebab itu, apabila nampak kesungguhan mereka, kami cuba bantu dari segi turap jalan dan bantuan lain," katanya.
PELBAGAIKAN SUMBER PENDAPATAN
Kesungguhan masyarakat Kampung Beswok membuatkan JAKOA memilih kampung itu ke pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera Peringkat Kebangsaan bagi negeri Perak untuk tahun ini (2023).
Kampung Kuala Mu memenangi pertandingan itu pada tahun 2022 dan bagi memastikan matlamat itu tercapai, beberapa agensi kerajaan dan swasta turut terlibat bagi membantu Kampung Beswok seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Tahun ini memang kita betul-betul fokus kepada Kampung Beswok. Kalau tengok projek, antara 60 projek di Kuala Kangsar, sebab satu dari segi komitmen dan kesungguhan penduduk di sini kerana jika tidak, Tok Batin (Kampung Bewsok) tidak dapatlah Anugerah Ikon Kebangsaan tahun lepas," katanya.
Menurut Hazwan, selain pembangunan ekopelancongan, agensi itu juga kini dalam proses mencari pelabur atau syarikat yang berminat untuk membangunkan tanaman koko berkualiti di Kampung Beswok bagi menghasilkan koko premium, yang boleh dijual dengan harga lebih tinggi sepertimana di Kuala Mu.
Beliau berkata, pihaknya juga dalam proses melatih koperasi sedia ada di Kampung Beswok iaitu Koperasi Penanam Koko Orang Asli Pos Yum Sungai Siput Berhad, selain ingin mewujudkan koperasi baharu supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
"Tok Batin Kampung Beswok mahu belajar sendiri, pergi sendiri ke SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia), belajar dari segi prosedur. Kami juga dah berbincang dengan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk membuat tanaman kontan di situ seperti bawang.
"Dari segi penternakan ikan, kami berbincang dengan Jabatan Perikanan dan jabatan itu akan menyediakan tempat bagi memberi latihan serta benih udang galah untuk diusahakan, tertakluk kepada kesesuaian lokasi," katanya.
-- BERNAMA / Mohamad Harith Mohamad Nizar
Bernama
Mon Sep 04 2023
Tok Batin Mohd Daud Anjang kini menguruskan bisnes ekopelancongan yang baharu diperkenalkan di kampung berkenaan. - Bernama
Agenda AWANI: Aceh bangkit selepas dua dekad tsunami
Kita menolak lupa dan mengambil iktibar. Apa yang kita belajar dari episod tragedi Tsunami 2004 yang meragut ratusan ribu nyawa? Adakah Aceh ‘bersedia’ andai bencana kembali mengancam? Laporan khas oleh Editor Kanan Astro AWANI, Nazri Kahar.
Telegram, Wechat mulakan proses pelesenan - MCMC
Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mereka beroperasi di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ia bagi memenuhi keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ia bagi memenuhi keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian.
[TERKINI] Gaduh di LRT: Siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa raya
Sebanyak lapan tangkapan telah dilakukan berhubung kes pergaduhan antara dua kumpulan dipercayai penyokong bola sepak di Setsen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar tasik Selatan.
Tsunami 20 Tahun : Aceh Sebagai Makmal Hidup Pengurusan Bencana
Editor Astro AWANI, Nazri Kahar membawakan perkembangan semasa mengenang dua dekad tragedi tsunami yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa.
Tragedi tukar pemandu, dua penuntut UTeM maut
Dua pelajar perempuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara, di Jasin, pada Khamis.
Persiapan akhir hukuman sebat di masjid berjalan lancar
Proses akhir pelaksanaan hukuman sebatan luar penjara terhadap individu pertama di Terengganu melakukan kesalahan khalwat berulang yang akan dilaksana selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang esok berjalan lancar.
AWANI Ringkas: Mati mengejut | Pergolakan di Mozambique
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
AWANI Borneo [26/12/2024] - Amaran hujan lebat | Lahirkan graduan berkemahiran tinggi | Kadar premium kekal
AWANI Borneo Khamis, 26 Disember 2024 bersama Assim Hassan
Banjir diramal melanda beberapa bahagian di Sabah bermula Sabtu.
i-CATS sasar jadi universiti penuh menjelang 2026.
Program Tarif Elektrik Hijau akan diteruskan pada 2025.
Banjir diramal melanda beberapa bahagian di Sabah bermula Sabtu.
i-CATS sasar jadi universiti penuh menjelang 2026.
Program Tarif Elektrik Hijau akan diteruskan pada 2025.
Pesilat Muda Sarawak cipta kejutan di Abu Dhabi
Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menganjurkan majlis penghargaan buat pesilat muda berbakat dari Marudi, Ummi Masitah Hassan.
DAPSY gesa kelemahan dalam SCHB ditangani
Kerajaan Sarawk digesa segera menangani kelemahan dalam Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) susulan berlakunya tuntutan tanpa pengesahan yang mengakibatkan seorang warga emas kehabisan RM500 nilai bantuan tanpa pengetahuan.
Ekopelancongan: Usaha Tok Batin Kampung Beswok buahkan hasil
Permintaan untuk menyewa chalet yang diusahakan bersama penduduk kampung yang terletak sekitar 65 kilometer dari pekan Sungai Siput ini kian hari kian meningkat.