PASTI ramai pengembara atau 'backpackers'  termasuk yang sudah berkeluarga berkeinginan untuk melakukan perjalanan 'backpacking' menggunakan jalan darat merentas beberapa  negara Indo-China.

Masakan tidak, kedudukan negara Indo-China termasuk Vietnam, Kemboja, Laos dan Thailand tidak begitu jauh jika dilihat di dalam peta, malah bersambung dengan Malaysia.

Ini membolehkan perjalanan darat dilakukan menggunakan pelbagai mod pengangkutan terutama bas dan kereta api.
 
Bagaimanapun, menyedari kebanyakan laluan bukan tumpuan pelancong, mungkin ia sedikit sebanyak  membantutkan hasrat ramai orang, lebih-lebih lagi bagi yang ingin membawa anak kecil.

Selamatkah, selesakah pengangkutan di sana?  Tidakkah sukar untuk merentas negara kerana sempadan terletak jauh dari bandar? Bagaimana pula masalah bahasa nanti?

Mungkin itu antara persoalan yang bermain di fikiran ramai, termasuk penulis sebelum ini.

Mengambil kesempatan cuti sekolah hujung 2019, penulis dan isteri memberanikan diri melakukan perjalanan itu bersama empat anak lelaki berusia antara tiga hingga 10 tahun.

negara itu berdepan situasi COVID-19 yang semakin sukar dikawal.

Kami mengambil masa hampir dua minggu melakukan perjalanan menaiki bas dan kereta api dari Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam ke Phnom Penh, Kemboja lalu ke Bangkok dan Hua Hin, Thailand sebelum pulang ke Malaysia.

Kesimpulan yang kami boleh katakan, perjalanan itu selamat, amat menyeronokkan dan penuh  dengan 'adventure', malah anak-anak kami masih berbicara mengenainya walaupun sudah hampir sembilan bulan berlalu.

Di dalam kereta api di Thailand.

Tidak seperti bayangan awal, semua tempat yang kami lalui tidak begitu menakutkan malah kebanyakan penduduk tempatan ramah menegur dan melemparkan senyuman, walau saling tidak memahami antara satu sama lain.

Standard pengangkutan awam darat di ketiga-tiga negara itu juga tidak begitu ketinggalan, malah tidak keterlaluan dikatakan setanding dengan Malaysia.

Jadi, bagaimana kami lakukan kembara ini?

*Sesuaikan rancangan perjalanan dengan kemampuan anak- anak

Jadual perjalanan diatur santai supaya tidak menjadi terlalu pantas bagi membolehkan kami menikmati kembara ini dengan rentak lebih perlahan.

*Tetapkan destinasi persinggahan sebelum merangka jadual perjalanan

Kami putuskan untuk singgah di Ho Chi Minh selama empat hari, sebelum ke Phnom Penh (dua  hari), Bangkok (tiga hari) dan Hua Hin (empat  hari).

*Buat tempahan hotel dan sebanyak mungkin pengangkutan diperlukan secara dalam  talian

Semua hotel serta hostel di sepanjang perjalanan ini kami tempah menggunakan laman web tempahan hotel terkenal di negara ini.

Bagi pengangkutan Kuala Lumpur-Ho Chi Minh pula, kami gunakan penerbangan AirAsia; tiket bas Ho Chi Minh-Phnom Penh  (www.baolau.com); tiket kereta api Bangkok-Hua Hin dan Hua Hin- Padang Besar (www.thairailwayticket.com).

Tiket bas dan kereta api dari Phnom Penh ke Bangkok, bagaimapun kami beli di lokasi bagi membolehkan pergerakan lebih fleksibel.


Berikut adalah catatan perjalanan kami:

*Ho Chi Minh-Phnom Penh

Di hadapan bas Mekong Express sebaik melepasi pemeriksaan imigresen di Moc Bai, Vietnam


Kami gunakan bas Mekong Express yang dibeli dengan harga USD13 setiap seorang.

Mekong Express dipilih kerana dikatakan antara penyedia perkhidmatan terbaik bagi laluan ini, lebih-lebih lagi menyediakan kakitangan khas untuk membantu penumpang ketika melalui sempadan Moc Bai, Vietnam dan Bavet, Kemboja.

Bas ini juga mempunyai tandas di bahagian belakang, yang memudahkan kami menguruskan anak-anak jika mereka mahu membuang air.

Perjalanan ke Phom Penh sejauh 240  kilometer (km) ini mengambil masa antara enam hingga sembilan jam bergantung kepada keadaan  trafik.


*Phnom Penh-Bangkok

Pilihan pengangkutan yang disediakan termasuk 'hotel bas' untuk perjalanan Phnom Penh-Poipet.


Kami menggunakan 'sleeper bus' atau turut  dikenali sebagai 'hotel bas' ke sempadan Poipet  sebelum memasuki Ban Klong Luk, Thailand seterusnya menaiki kereta api ke  Bangkok.

Kami membeli tiket bas syarikat Virak Buntham daripada ejen yang beroperasi di kaunter lobi hostel pada harga USD13 bagi setiap orang.

Bas bertolak pada jam 9.15 malam dan tiba di sempadan Poipet pada jam 5.30 pagi, membabitkan  perjalanan sejauh 468 km.

Suasana di dalam 'bas hotel' yang mengambil masa semalaman untuk tiba di sempadan Kemboja-Thailand

Jika anda ingin membuat perjalanan serupa, kami nasihatkan beli dua tiket bersebelahan walaupun anda seorang diri, melainkan anda rela tidur di sebelah orang asing!

Sebaik tiba di Poipet, kami berjalan melepasi stesen pemeriksaan imigresen sempadan dan memasuki Ban Klong Luk di sebelah sempadan Thailand.

Kami terus sahaja ke Stesen Kereta Api Ban Klong Luk yang terletak berhampiran untuk membeli tiket perjalanan ke Bangkok pada jam 1.53 tengah hari.

Keretapi klasik yang menjadi komuter masyarakat  tempatan itu bertolak kira-kira jam 2 petang  dan kami tiba di Stesen Hua Lamphong, Bangkok  kira-kira jam 8 malam, membabitkan perjalanan  sejauh kira-kira 280 km.


*Bangkok-Hua Hin

Kereta api yang menjadi komuter masyarakat tempatan.

Tiket kereta api ini hanya berharga 94Bath bagi dewasa dan kanak-kanak (72Bath). Perjalanan  sejauh kira-kira 200 kilometer ini mengambil  masa lima jam dan kami tiba di Stesen Kereta  Api Hua Hin kira-kira jam 11.30 malam.

*Hua Hin-Padang Besar

Di dalam 'sleeper train' dari Hua Hin menuju ke Padang Besar.

Kami menaiki kereta api malam dengan tempat tidur dari Hua Hin ke Padang Besar yang mengambil masa kira-kira 14 jam perjalanan, membabitkan perjalan sejauh 700km.

Harga tiket dewasa adalah 883 Bath bagi tempat  tidur bawah, dan atas (793 Bath), manakala tiket kanak-kanak adalah 652 Bath.

Kereta api di Thailand.

Secara keseluruhan, walaupun perjalanan ini agak panjang, namun  kami semua terutama anak-anak amat menyukainya kerana berpeluang mengembara menggunakan banyak kaedah pengangkutan awam selain melihat pelbagai ragam manusia.

Jika berpeluang, kami tidak keberatan mengulanginya pada masa depan.





Artikel ini ditulis berdasarkan perkongsian pengalaman sebelum pandemik COVID-19 melanda. Sila rujuk kepada syarat-syarat kemasukan sesebuah negara sebagai perancangan percutian anda.

Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !