SETAHUN lalu, gelagat seekor kucing yang tekun mendengar butir bicara pensyarah dirakam di satu sesi pengajaran dan pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

Biarpun pada mulanya si comel itu dilihat seolah-olah bersemangat untuk mendengar kuliah, namun ia akhirnya tertidur di atas meja.

Gambar-gambar itu dimuat naik ke akaun Twitter oleh seorang pelajar, dan ia tiba-tiba menjadi tular sehingga mendapat liputan portal gaya hidup terbesar di dunia, Buzzfeed.

Berkesempatan bertemu si comel itu baru-baru ini, tidak boleh dinafikan kucing yang diberi nama Labun ini sangat bertuah.



Berstatus kucing jalanan, kebajikan Labun kini dijaga dengan cukup baik oleh kesemua 'ibu-ibu'nya.

Labun bukan sahaja dijaga empat orang pensyarah, malah turut mendapat kerjasama para pelajar dan petugas pembersihan di bangunan fakulti Kuliyyah of ICT yang sudah menjadi kediaman Labun selama lima tahun.

"Empat orang mommy inilah yang akan bergilir-gilir membelikan makanan untuk Labun.

"Para pelajar juga ramai yang tidak lokek memberikannya makan dan permainan, malah mereka juga rajin melayan Labun bermain," kata Prof Dr Norsaremah Salleh, salah seorang penjaga Labun.

Bercerita lanjut tentang kehadiran Labun ke fakulti itu, Prof Norsaremah memberitahu Labun ditemui berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan kira-kira lima tahun lalu.

"Masa tu Labun masih seekor kitten dan sangat manja. Mungkin dibuang ke sini, sebab tak pernah pula terserempak dengan ibunya.

"Kasihan melihat keadaannya, saya ambil keputusan untuk menjaganya. Tapi saya tidak berseorangan kerana turut dibantu rakan-rakan pensyarah yang lain," ceritanya.

Prof Norsaremah bersyukur kerana hasrat mereka untuk memberikan kehidupan terbaik kepada Labun dipermudahkan apabila mendapat sokongan dan bantuan daripada anggota fakulti yang lain, termasuklah Dekan.

Menariknya, Labun juga memiliki kad matrik sendiri yang dipakaikan sebagai tanda pengenalan haiwan peliharaan fakulti tersebut.

"Pekerja pembersihan juga banyak membantu. Contoh pada hari cuti umum, mereka akan membantu tengok-tengokkan Labun kerana kampus akan lengang pada waktu itu," ujarnya.

Prof Norsaremah juga melihat kehadiran Labun bukan sekadar satu bentuk hiburan tetapi juga sebagai satu cara memupuk rasa sayang dan simpati para pelajar terhadap haiwan.

"Melalui Labun, pelajar akan lebih menghargai haiwan dan dapat belajar nilai-nilai murni serta kasih sayang," katanya.