Pengusaha hotel kucing Si Tompok by QR Cattery, Raudhah Nubli berkata, tempahan sudah dibuat oleh pemilik kucing seawal Januari lalu.
Kata Raudhah, pemilik yang mempunyai jumlah kucing yang banyak kebiasaannya akan memilih untuk menghantar kucing mereka ke hotel sepanjang tempoh perayaan.
Berbeza dengan tahun sebelum ini, Raudhah memaklumkan tempahan meningkat mendadak, berkemungkinan kerana cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang menyebabkan ramai yang memilih untuk pulang ke kampung atau bercuti.
Sebagai pemilik hotel kucing, Raudhah menyifatkan cabaran utama baginya ialah menguruskan emosi si bulus, terutama bagi kucing-kucing yang baru pertama kali berpisah dengan pemilik mereka.
"Kucing pun ada temper, ada mood. Paling mencabar nak pujuk kucing-kucing yang sudah biasa dan tak boleh berenggang dengan 'mak' atau 'ayah'nya, apabila berada di hotel memang akan ambil masa nak biasakan diri.
"Ada kucing yang sangat mudah menyesuaikan diri, hari ini hantar esok sudah okey. Tapi ada juga yang sampai masa nak balik pun, masih moody, merajuk dan marah-marah," katanya yang sudah hampir dua tahun membuka hotel kucing tersebut.
Dengan harga sekitar RM20 sehingga RM65 seekor mengikut jenis kucing, Raudhah berkata, pihaknya membuat sedikit penyesuaian kadar harga tahun ini bagi memastikan mereka dapat memberikan yang terbaik untuk kucing-kucing yang dihantar ke situ.
"Ada sedikit perbezaan harga tahun lepas dengan tahun ini sebab kami tambah baik kemudahan. Antaranya penambahan penyaman udara sebab sejak bulan lepas lagi kami sudah dimaklumkan dengan situasi cuaca panas pada musim Aidilfitri," ujarnya.
Menghantar kucing ke hotel tidak bermakna pemilik boleh lepas tangan kerana menurut Raudhah, kucing tetap perlu dipersiapkan terlebih dahulu bagi mengelak timbul sebarang masalah sepanjang tempoh mereka berada di situ.
"Setiap cat parent yang mahu menghantar anak-anak bulus mereka ke sini sudah diberikan checklist, apa yang perlu disediakan. Paling penting kucing mesti divaksin dan vaksinnya belum tamat tempoh.
"Kami juga mensyaratkan vaksin itu diterima awal. Pernah terjadi kucing dihantar ke sini selepas baru divaksin beberapa jam, itu kami tak terima.
"Kami tak boleh ambil risiko terima kucing dalam keadaan sakit atau tidak sihat," katanya lagi.