SALAH satu perkara yang kurang menarik pada X atau dulunya dikenali sebagai Twitter adalah lambakan perkongsian berbentuk spam dalam bentuk pautan produk atau affiliate – sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan platform berkenaan kurang menarik berbanding pada suatu masa dahulu.

Kini, dalam usaha mengatasi masalah spam, X dilihat sedang membangunkan sebuah ciri baharu yang akan menghalang perkongsian pautan pada respons balasan setiap “tweet” di platform berkenaan.


Melalui ciri ini, pemilik “tweet” atau perkongsian asal boleh memilih sama ada membenarkan pautan pada respons balasan mereka, atau mematikannya.


Sekiranya dimatikan, maka tiada pautan yang akan dibenarkan pada respons balasan di bawah perkongsian asal.

Buat masa ini, tidak diketahui lagi bilakah ciri ini akan diperkenalkan secara rasminya.

Walaupun ia boleh mematikan perkongsian berbentuk spam, ia juga mungkin membawa kepada masalah, di mana pengguna lain mungkin sukar membetulkan sesuatu fakta dengan memberikan pautan berita sebenar untuk sesuatu perkongsian yang menghalang pautan pada respons balasan. -Amanz