"KALAU bagi pun saya tiada semangat nak bercuti."

Itu luahan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, yang tampak sudah melupakan kekecewaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kempen di Jepun minggu lalu membuka lembaran baru buatnya menyasarkan gelaran Kejohanan Dunia di Sepanyol, hujung tahun ini yang menjadi sasaran seterusnya.

"Kami perlu menjalani kuarantin sejak pulang dari Jepun.

"Kalau cuti lagi raket pun kelak sudah tidak tahu macam mana hendak pegang.

"Saya sedar kami ada sebulan sahaja untuk jalani persiapan menghadapi Piala Sudirman dan Piala Thomas.

"Kami juga akan menghadapi tujuh kejohanan berturut-turut selepas ini.

"Kalau bagi saya cuti pun saya tiada semangat mahu pergi. Masa semakin suntuk untuk buat persiapan jadi saya akan fokus kembali kepada latihan (selepas kuarantin)," kata juara Seluruh England 2021 itu di Nadi Arena.

 
Sumber Facebook BAMalaysia

Ia antara pengorbanan Zii Jia bagi merealisasikan impian mengukir sejarah muncul sebagai juara sulung negara dalam Kejohanan Dunia.

Ketika kalendar sukan badminton padat hingga melibatkan deretan kejohanan terpaksa ditempuh, Zii Jia berpegang teguh amanat ketua jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, yang mengenal pasti musuh utamanya adalah dirinya sendiri.

"Semua pemain mengimpikan jadi juara dunia.

"Bagaimana reaksi dan kawal situasi amat penting adalah amat penting buat saya."