PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah, tidak langsung cuba menyimpan kata-kata  ketika mempertahankan dirinya selepas mengisytiharkan dia adalah pemain terbaik di dunia dalam posisinya.

Pemain antarabangsa Mesir itu berada di landasan tepat untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, sambil turut mencatatkan jumlah bantuan tertinggi di liga teratas, terlibat secara langsung dalam 35 gol daripada 34 penampilannya.

Salah baru-baru ini dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak di England, dan mempunyai peluang untuk mencipta sejarah bersama pasukan Liverpool ini kerana mereka telah memenangi Piala EFL, dan masih dalam usaha memburu gelaran EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Bercakap kepada beIN SPORTS, Salah bertegas bahawa tidak ada penyerang dalam bola sepak dunia yang mencapai tahapnya ketika ini.



"Jika anda membandingkan saya dengan mana-mana pemain dalam posisi saya, bukan sahaja dalam pasukan saya tetapi di dunia, anda akan dapati saya adalah yang terbaik,” katanya.

"Saya sentiasa fokus pada kerja saya dan melakukan yang terbaik, dan nombor (jumlah jaringan) saya adalah bukti terbaik kata-kata saya.

"Saya suka untuk sentiasa mencipta cabaran baharu untuk saya, bekerja dengan cara yang berbeza dan membuat perubahan, dan itu adalah tugas saya."

Menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Liverpool menentang Real Madrid -- yang merupakan perlawanan ulangan daripada final 2018, apabila kelab Sepanyol itu menang 3-1 -- Salah menyebutnya sebagai 'masa membalas dendam'.

“Ya -- apabila kami tewas di final, ia adalah hari yang menyedihkan bagi kami semua,” katanya. "Tetapi, ya, saya rasa sudah tiba masanya untuk membalas dendam."

*Artikel asal disiarkan di Stadium Astro