BEIJING: Peminat sukan perlu menyertai cabutan minggu ini sebelum mereka boleh membeli tiket Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganjur Paris 2024 merancang untuk melancarkan cabutan umum dalam talian mulai Khamis ini hingga 31 Jan 2023 bagi mereka yang ingin membeli tiket, kata Xinhua.

"Hanya mereka yang terpilih dalam cabutan ini akan dapat membeli tiket. Oleh itu jika anda mahu, hanya ada satu pilihan: daftar!" kata penganjur di laman web tiket Olimpik mereka.

Peminat yang terpilih akan diberikan slot masa 48 jam untuk membuat pembelian setelah jualan pek Make Your Games dibuka pada 15 Feb 2023.

Fasa dua yang sebahagian besarnya melibatkan penjualan tiket tunggal akan dibuka dari Mac hingga Mei 2023 menggunakan kaedah yang sama.

Hampir 10 juta tiket untuk kejohanan itu dan 3.4 juta untuk Paralimpik akan dijual platform dalam talian.Buat pertama kalinya dalam sejarah Olimpik, semua jualan tiket akan dilakukan secara dalam talian sahaja dan boleh diakses di seluruh dunia.

-- BERNAMA