NASSOURDINE Imavov mencipta kejutan apabila meraih kemenangan knockout ke atas bekas juara dua kali UFC, Israel Adesanya, dalam pusingan kedua acara utama UFC Fight Night di Riyadh, Arab Saudi awal pagi tadi.

Petarung Perancis berusia 30 tahun itu menepati nama julukannya selaku 'The Sniper' dengan melepaskan deretan tumbukan tangan kanan tepat ke arah lawan itu, terutama dalam pusingan kedua, yang hanya berlangsung selama 30 saat sebelum Adesanya disahkan tidak dapat meneruskan pertarungan.

Keputusan itu juga menyaksikan rekod kekalahan Adesanya dalam kategori middleweight berpanjangan kepada tiga perlawanan berturut-turut.

Imavov, dalam pada itu, meraikan kemenangan keempat berturut-turut dalam kelas berkenaan, sekali gus membolehkannya untuk mengintai peluang merebut tali pinggang kejuaraan. - Stadium Astro