Umar yang juga sepupu Khabib Nurmagomedov dilihat lebih layak bertarung dengan penyandang juara bantamweight, Merab Dvalishvili.
Sementara Ankalaev membuktikan dia layak mencabar Alex Pereira selepas melakar satu lagi kemenangan di Oktagon.
Kemenangan terbaharu Ankalaev itu diraih selepas dia mengalahkan Aleksandar Rakic menerusi keputusan sebulat suara tiga hakim di UFC 308.
“Sudah tentu Umar dan Ankalaev menjadi pencabar kejuaraan selepas ini,” ujar White dalam sidang media pasca UFC 308 tanpa memperincikan bila dan di mana pertarungan itu berlangsung.
Umar dengan rekod tanpa kalah 18-0 sudah melakukan segala-galanya untuk layak mencabar Dvalishvili, namun petarung Georgia itu memberi pelbagai alasan untuk mengelak daripada bertarung dengan jaguh dari Dagestan itu.
Manakala, Ankalaev sering dijanjikan pertarungan untuk merebut kejuaraan namun sehingga kini dia masih menunggu White menunaikan janji berkenaan.
Sekirannya muncul juara divisyen masing-masing, Umar dan Ankalaev bakal menjadi juara UFC terbaharu dari Dagestan.
Ketika ini, seorang lagi jaguh Dagestan, Islam Makhachev merupakan penyandang juara lightweight.
Sebagai rekod, Khabib adalah juara UFC pertama Dagestan selepas mengalahkan Al Iaquinta pada 2018. - Sinar Harian