PENYANDANG juara kelas middleweight UFC, Dricus Du Plessis bersedia bertarung dengan jaguh seni bila diri campuran (MMA) dari Chechnya, Khamzat Chimaev.

Du Plessis meraih gelaran middleweight awal tahun ini selepas mengalahkan Sean Strickland di UFC 297 menerusi kemenangan kontroversi 'split decision' 2-1.

Petarung dari Afrika Selatan itu kemudian mempertahankan gelarannya selepas menundukkan Israel Adesanya di UFC 305 pada Ogos lalu menerusi 'submission' di pusingan keempat.

Strickland bagaimanapun berkempen sepanjang tahun ini untuk pertarungan ulangan dengan Du Plessis dan tindakan itu berjaya mempengaruhi Presiden UFC, Dana White.

Namun, White dikatakan mengubah fikirannya selepas melihat dominasi total Khamzat ke atas atlet MMA berpengalaman, Robert Whittaker di UFC 308 baru-baru ini.

Sebelum itu, Khamzat semasa sidang akhbar pasca UFC 308 melaungkan amaran kepada Du Plessis bahawa dia bakal menjadi 'raja' kelas middleweight.

Mengulas senario potensi pertarungan dengan Khamzat, Du Plessis ternyata menerimanya dengan hati terbuka kerana itulah pertarungan epik yang diinginkan peminat UFC!

"Ada yang mengatakan bahawa Khamzat belum layak dan tidak bersedia untuk merebut gelaran middleweight, tapi hakikatnya lihatlah apa yang dilakukannya terhadap Whittaker.

"Jika anda mendengar apa yang peminat mahukan.... Pertarungan dengan Strickland bukanlah idea yang bernas.

"Saya mahu melawan petarung terbaik dan berdasarkan pendapat majoriti, peminat mahu melihat saya bertarung dengan Khamzat di dalam Oktagon.

"Jadi bagi saya, 100 peratus bersedia berdepan Khamzat," ujar Du Plessis yang merupakan juara pertama UFC dari Afrika Selatan.

Dalam pada itu, mengulas kekalahan mengejut Whittaker kepada Khamzat, Du Plessis berkata: "Jika saya berada di tempat whittaker, saya tidak akan membuang masa berbalas tumbukan sebaliknya akan menggunakan skil gusti. Kunci mengalahkan Khamzat adalah gusti."

Biar pun UFC belum memutuskan siapa lawan Du Plessis seterusnya, jangkaan semakin meningkat bahawa dia bakal ditentang Khamzat yang setakat ini mengekalkan rekod bersih 14-0.

Pertarungan antara Du Plessis dan Khamzat berpotensi menjadi salah satu pertembungan paling menarik dalam sejarah kelas middleweight.

Ini kerana kedua-dua atlet MMA ini tidak mengenal erti penat dan sentiasa mencabar diri setiap kali beraksi di dalam Oktagon. - Sinar Harian