ZINEDINE Zidane memiliki skuad terbesar untuk diturunkan menjelang kunjungan Real Madrid ke laman Chelsea dengan Marcelo, Sergio Ramos, Federico Velvarde dan Ferland Mendy kembali berada dalam senarai.

Madrid sebelum ini menghadapi masalah kekurangan pemain sejak beberapa bulan lalu, di mana pemain utama mereka mengalami kecederaan jangka panjang.

Bagaimanapun, dengan skuad Los Blancos itu memerlukan keputusan positif dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok, Zidane kembali dapat menggunakan khidmat kebanyakan pemainnya.

Ketika Rapahel Varane masih berehat kerana kecederaan abductur yang dialaminya ketika menentang Osasuna hujung minggu lalu, Ramos akan kembali diturunkan buat kali pertama sejak penghujung Mac lalu.

Bagaimanapun, masih belum ada kepastian sama ada dia akan kembali ke dalam kesebelasan utama atau tidak memandangkan dia sudah lama tidak beraksi secara kompetitif pada ketika Eder Militao dan Nacho kelihatan amat ampuh sebagai pasangan pertahanan tengah sepanjang beberapa minggu ini dengan tidak dibolosi ketika menentang Liverpool dalam suku akhir di Anfield.


Zidane juga mempunyai pilihan di bahagian pertahanan kiri selepas Mendy pulih daripada kecederaan betis yang dialaminya sejak pertengahan bulan lalu manakala Marcelo juga tersenarai dalam kunjungan itu.

Valverde, yang terlepas kesemua perlawanan sepanjang beberapa minggu lalu gara-gara diuji positif koronavirus, juga disenaraikan untuk ke Chelsea.

Madrid diikat 1-1 oleh Chelsea di laman sendiri dalam perlawanan pertama dan ia bermakna, mereka perlu menang atau sekurang-kurang nya seri dengan keputusan lebih baik daripada 1-1 untuk memastikan kemaraan ke final di Istanbul hujung bulan ini.