KETUA pasukan Jepun, Maya Yoshida, meminta penganjur Sukan Olimpik Tokyo agar mempertimbangkan semula keputusan acara bola sepak secara tertutup.

Gesaan untuk melarang penonton daripada menghadiri acara itu dibuat awal bulan ini selepas ibu kota Jepun berkenaan dimasukkan dalam senarai darurat berikutan lonjakan kes COVID-19.

Namun, peminat masih boleh hadir memberikan sokongan kepada beberapa sukan lain di negara itu yang terletak di lokasi yang lebih terpencil, misalnya perlawanan persahabatan membabitkan Jepun dengan Sepanyol di Kobe, pada Sabtu.

Peminat dibenarkan berkunjung ke stadium dengan penjarakan sosial ketika mereka seri 1-1, lantas Yoshida mempersoalkan mengapa penduduk tempatan tidak dibenarkan datang memberikan sokongan sebaik temasya bermula Jumaat ini.

"Saya rasa banyak wang rakyat diperuntukkan untuk mengadakan Sukan Olimpik ini," kata Yoshida seperti dilaporkan akhbar Asahi.


"Begitupun, peminat tidak dapat datang menonton. Oleh itu, saya tertanya-tanya tentang untuk apa Sukan Olimpik ini. Sudah tentu atlet ingin beraksi di depan peminat."

Pegawai Tokyo 2020 mengesahkan kes COVID-19 di Perkampungan Sukan namun Yoshida masih mempertahankan pendiriannya.

"Keluarga kami telah berkorban dan bersabar dalam banyak hal, mereka menyokong kami ketika kami beraksi di Eropah," tambah pertahanan Sampdoria itu.

"Bukan hanya pemain yang bertanding malah ahli keluarga kami, setiap daripada mereka.

"Jadi jika mereka tidak dapat menonton kejohanan ini, jadi untuk siapa dan tujuan apakah ia dilangsungkan. Ini yang menjadi persoalan. Saya sangat berharap bahawa gesaan ini dapat mempertimbangkannya dengan serius."

Jepun akan menentang Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Khamis ini sebelum menghadapi Mexico dan Perancis.

Dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir.