TIKTOK Shop Malaysia kini memaklumkan para penjual dan peniaga pada platform berkenaan, di mana mereka akan menaikkan caj yuran komisen dan juga yuran transaksi, berkuat kuasa 5 September 2024.

Yuran komisen yang dikenakan oleh TikTok Shop adalah berdasarkan kepada kategori produk, dan berbeza mengikut kategori.

Sebagai contoh, untuk yuran komisen, jualan telefon dan tablet melalui TikTok Shop sebelum ini dikenakan caj sebanyak 2.70%, dan ia akan meningkat kepada 5.40% bermula 5 September 2024.

Pihak TikTok Shop berkongsi perbezaan caj yang akan dikenakan mengikut kategori produk melalui halaman sokongan mereka.

Di samping itu, yuran transaksi sebanyak 2.16% pada hari ini akan meningkat kepada 3.78% berkuat kuasa 5 September 2024.

Yuran transaksi adalah yuran perkhidmatan yang dikenakan oleh TikTok Shop kepada semua penjual untuk pemprosesan pesanan yang berjaya di platform berkenaan.

Selain caj ini, TikTok Shop juga turut mengenakan Yuran Komisen Mall untuk para penjual dengan status “Mall” pada platform berkenaan.

Bagi anda yang melakukan jual beli menggunakan platform TikTok Shop boleh menyemak laman sokongan rasmi dalam mengetahui lanjut berkenaan caj baharu ini. -Amanz