KUALA LUMPUR: TikTok Shop Malaysia komited untuk membantu membangunkan ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan melalui jalinan kerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Seramai 30 usahawan telah dipilih untuk mendapat manfaat dalam bentuk bantuan modal, bimbingan dan seliaan YWP, sebagai usaha untuk memberi impak sosial dan membina hubungan kolaboratif dalam komuniti.

Bantuan tersebut adalah hasil daripada perolehan ‘Showdown’ Jualan Secara Langsung Kempen 11.11 TikTok Shop pada 11 November tempoh hari, menunjukkan bahawa ia tidak sekadar membawa keuntungan kepada syarikat media sosial itu tetapi juga melimpah kepada penggunanya.

Sepanjang 2023, TikTok Shop Malaysia telah membantu lebih satu juta usahawan tempatan dan sekitar 98 peratus daripada mereka adalah PMKS.

Justeru kata Ketua Perhubungan Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, pengetahuan dan kemahiran untuk berniaga di atas talian amatlah penting untuk mengembangkan perniagaan, walau sekecil mana pun, dan mereka sedia menolong.

“Perniagaan di TikTok Shop adalah berlandaskan komuniti; komuniti pilih apa yang mereka minat, membeli produk berdasarkan usahawan yang mereka suka, dan apa yang mereka percaya.

“Jadi kita beri bantuan dan sokongan, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan supaya lebih banyak insentif dapat disalurkan untuk usahawan tempatan untuk literasi digital.

“Penting untuk mereka faham teknologi yang bagaimana hendak digunakan, bagaimana untuk memanfaatkannya dan apa cara untuk membina komuniti supaya impaknya berterusan dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Sebagai sebahagian daripada program kerjasama tersebut, TikTok Shop Malaysia bersama YWP menganjurkan Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023 di Setapak pada Khamis, di mana bengkel dan sesi perkongsian diadakan bersama usahawan-usahawan TikTok Shop tempatan yang berjaya.

Untuk tahun ini, TikTok Shop Malaysia sudah berkerjasama dengan lebih 50 agensi kerajaan dan syarikat swasta dan sedang dalam perancangan untuk menjalin lebih banyak kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan.

Melihat ke hadapan, kata Azre mereka akan memberi tumpuan kepada produk buatan Malaysia dan memperhebat program pembangunan dan pemerkasaan usahawan luar bandar.

“Kita akan bina studio kecil di 12 kawasan pusat ekonomi digital di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menggalakkan usahawan luar bandar pasarkan produk mereka secara langsung, dengan bimbingan dan sokongan TikTok Shop Malaysia,” maklum Azre lagi.

Antara bimbingan yang diberi merangkumi cara penggunaan aplikasi dengan peranti, strategi permulaan dan pengembangan pemasaran, serta pematuhan garis panduan komuniti.
 
TikTok Shop: Jalin kerjasama dengan YWP bantu lonjak ekonomi PMKS