SEREMBAN: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) mengeluarkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih terowong bawah tanah yang menghubungkan Stesen Bas Terminal 1 dengan Stesen Keretapi Seremban.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata laluan pejalan kaki yang berusia 15 tahun sejak dibuka pada 2008 itu, perlu dilakukan penambahbaikan bagi memastikan laluan berkenaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata kajian kelestarian yang dilakukan mendapati kawasan terowong dan laluan pejalan kaki berkenaan mempunyai nilai dan potensi untuk dipulihkan semula bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

"Dengan hanya mengambil masa selama empat bulan, laluan ini berjaya disiapkan pada 28 Jun lepas, sekali gus memberikan tarikan baharu kepada Bandar Seremban, terutamanya kepada golongan muda.

"Antara yang menjadi daya tarikan ialah pembinaan dua arca penting iaitu The Railman dan The Messenger yang dibuat daripada peralatan semboyan kereta api dalam laluan terbabit," katanya dalam ucapan Majlis Penyerahan dan Perasmian Wajah Baharu Terowong Pejalan Kaki Jalan Sungai Ujong di sini hari ini.

Loke berkata selain RAC, kerjasama yang erat juga telah diberikan oleh rakan-rakan strategik iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Think City dalam memastikan projek di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu berjaya direalisasikan.

Beliau berkata orang ramai diminta menjaga dan menggunakan kemudahan itu dengan baik dan mengelakkan perbuatan vandalisme sebagaimana paparan berita baru-baru ini mengenai kejadian merosakkan harta benda awam itu di Dataran Seremban.

"Kita sering kali melihat kemudahan-kemudahan awam ini dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kesan vandalisme adalah besar kerana ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai, tetapi juga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk membaiki kemudahan yang rosak atau menggantikannya dengan yang baharu," katanya.

Loke berkata kekerapan dan perkhidmatan tren di Seremban juga akan ditingkatkan berikutan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru yang dijangka siap tahun hadapan, akan turut menggunakan laluan di bandar raya ini.

"Tahun hadapan kita akan mulakan ETS dari KL Sentral menghala ke Johor Bahru Sentral kerana akan siap tahun hadapan, jadi sudah tentu akan lalu stesen di Seremban untuk pengguna membuat perjalanan," katanya.

-- BERNAMA